McCartney dan Starr pernah mengadakan persembahan bersama walaupun sudah membawa haluan masing-masing.
McCartney dan Starr pernah mengadakan persembahan bersama walaupun sudah membawa haluan masing-masing.
Agensi

SELEPAS The Beatles dibubarkan pada 1970, empat anggotanya John Lennon (penyanyi, gitar), Paul McCartney (penyanyi, bass), George Harrison (gitar) dan Ringo Starr (dram) tidak pernah melakukan reunion secara rasmi walaupun ada banyak permintaan.

Tragedi pembunuhan Lennon pada Disember 1980 di New York, Amerika Syarikat akhirnya mematikan hasrat peminat untuk melihat kumpulan rock legenda dunia itu bersatu semula.

Namun, dalam tempoh itu dan kemudiannya, mereka lebih selesa meneruskan kerjaya solo selain turut bekerjasama dalam beberapa rakaman lagu.

Selepas kematian Harrison pada 2001, McCartney, 78, dan Starr, 80, pernah mengadakan persembahan bersama atau boleh dikategorikan sebagai 'reunion mini' The Beatles sebanyak dua kali dalam tempoh beberapa tahun ini.

Starr dalam satu temubual berkata, dia seronok apabila dapat berkongsi pentas dengan McCartney selepas hampir 50 tahun The Beatles dibubarkan.

AKAN terus bersahabat sehingga penghujung usia.
AKAN terus bersahabat sehingga penghujung usia.

"Saya sukakannya. Peluang membuat persembahan kembali dengan McCartney satu pengalaman yang menyeronokkan.

"Kami melakukannya di O2 Arena, England pada 2018. Selepas itu, McCartney menghubungi saya dan meminta saya mempersembahkan beberapa lagu dalam konsertnya di Stadium Dodger, Los Angeles.

"Saya bersetuju untuk ke sana (Los Angeles) dan kami menyanyikan tiga lagu. Penonton sangat teruja dan saya seronok membuat persembahan dengannya. Apabila melihat kami, penonton berkata, Oh! Ada dua anggota The Beatles di situ. Wow! Mereka sangat teruja dan begitu dengan kami di pentas," katanya.

Bercerita mengenai hubungannya dengan McCartney ketika ini, Starr berkata, mereka masih berkawan baik walaupun jarang berjumpa.

"Namun, apabila kami berada di negara atau bandar yang sama, kami biasanya akan makan malam bersama. Dia juga akan ke rumah saya dan begitu juga sebaliknya," katanya.

McCartney juga akan membuat penampilan dalam EP terbaru Starr iaitu Zoom In yang akan berada di pasaran Mac ini. Ia turut menampilkan Dave Grohl dan Finneas.

Artis lain yang turut terbabit ialah Sheryl Crow, Jenny Lewis,
Lenny Kravitz, Chris Stapleton dan Corinne Bailey Rae.

Bulan lalu, McCartney tampil dengan album solo terbarunya berjudul McCartney III.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:40 AM