Jamal Abdillah.
Jamal Abdillah.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: "Ini sesuatu yang Allah bagi untuk tebus kesalahan saya yang dulu."

Demikian kata penyanyi, Datuk Jamal Abdillah mengenai kehadiran cahaya mata keempatnya, El Issac Yamani yang dilahirkan pada 11 November tahun lalu.

Pada usia 62 tahun, Jamal yang juga suami kepada Datin Zai Izzati Khiruddin itu juga mengakui kehadiran putera bongsu mereka itu juga benar-benar mencabar tenaganya.

"Anak pertama (hasil perkahwinan dengan Zai) kini berusia setahun dua bulan, manakala anak kedua ini dah nak masuk dua bulan. Kehadiran cahaya mata memang meletihkan. Bukan saja saya, orang rumah (isteri) pun letih juga," katanya kepada Harian Metro.

Namun, Jamal bersyukur kerana masih dikurniakan anak walaupun sudah menginjak usia.

"Anak adalah anugerah dan ia datang bersama tanggungjawab. Tanggungjawab sebagai ibu bapa itu adalah besar. Bukan saja untuk membesarkan mereka, tetapi juga untuk mendidik dan menyekolahkan mereka," katanya.

Terbaru, Jamal melakukan persediaan untuk lagu Belenggu Rindu, duet bersama Wany Hasrita di pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) yang ditunda akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, dia juga membuat persediaan dan berharap agar PKP tidak dilanjutkan dalam tempoh lebih panjang memandangkan Konsert Datuk Jamal Abdillah 4 Dekad 2021 dijadualkan berlangsung pada Ogos depan selepas ditunda hampir setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 12:34 PM