Dayang Nurfaizah
Dayang Nurfaizah
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: Penyanyi, Dayang Nurfaizah bersyukur kerana dalam era digital, dia dapat meneruskan kerja-kerja untuk mempromosikan album barunya, Belagu yang akan dilancarkan secara rasmi Februari ini.

Dayang ketika ditemui di majlis pradengar album baru menampilkan lapan lagu saduran itu berkata, kerja-kerja perlu juga diteruskan dengan apa cara sekalipun walaupun negara kini berada di bawah perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri. 

"Kebetulan, dalam tempoh saya nak lancarkan album, negara kita melaksanakan PKP di enam negeri. Jadi, kerja-kerja perlu diteruskan. Mujurlah dalam era digital, banyak platform digital boleh digunakan untuk mempromosi dan memperkenalkan album baru ini," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Dayang, dia sebagai anggota masyarakat mematuhi norma baharu yang perlu dijalani, sesuai dengan situasi krisis pandemik Covid-19. 

"Memang ada kerisauan juga, tapi kita kena hidup dengan norma baharu. Dalam PKP sebelum ini, banyak persembahan dibatalkan. Tapi, hidup perlu juga diteruskan. Dari segi pendapatan, memang berkurangan. Jadi, kita perlu bijak mengatur langkah untuk berjimat cermat," katanya. 

Album Belagu mendapat sentuhan pengarah muzik yang juga penerbit, Aubrey Suwito menampilkan lagu-lagu klasik yang diberi sentuhan lebih segar. 

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 5:26 PM