INTAN Ladyana bersama Harris Alif. FOTO Instagram
INTAN Ladyana bersama Harris Alif. FOTO Instagram
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pengacara Harris Alif memaklumkan majlis pernikahan dengan pelakon Intan Ladyana yang dijadual berlangsung pada 6 Februari ini akan diteruskan seperti biasa. 

Bagaimanapun, sekiranya berlaku perubahan tarikh pihaknya akan memaklumkan kepada semua. 

"Setakat ini, apa yang boleh saya kongsikan tarikh pernikahan masih tidak berubah cuma kalau ada apa-apa perubahan saya akan maklumkan.  Cuma buat masa ini saya dan Intan sedang menunggu prosedur operasi standard (SOP) baru yang akan dikeluarkan kerajaan supaya kami dapat merancang untuk persiapan perkahwinan kami yang akan diadakan di sebuah masjid di Kuala Lumpur," katanya. 

Menurut Harris, susulan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini hingga 26 Januari di enam negeri serta Pengisytiharan Darurat sehingga Ogos, dia mengakui sukar memberikan jawapan berkenaan persiapan perkahwinannya. 

"Sekarang ini nak jawab apa pun saya tak tahu. Kita tak boleh jangka sama ada PKP bersambung atau tidak. Berkenaan persiapan majlis pernikahan dan resepsi kami tunggu SOP baru keluar, kemudian baru fikir sama ada nak tangguh atau teruskan. Susah nak beri jawapan sekarang sebab hari ini baru hari pertama PKP," katanya. 

Penyanyi, Ernie Zakri bersama tunangnya, Syamel. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Penyanyi, Ernie Zakri bersama tunangnya, Syamel. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Sementara itu, pasangan selebriti Ernie Zakri dan Syamel yang turut bakal melangsungkan majlis perkahwinan tahun ini mengakui risau sekiranya PKP dilanjutkan untuk tempoh jangka masa yang panjang. 

Ernie berkata, buat masa ini persiapan masih berjalan seperti yang dirancang dan tidak mengganggu tarikh menuju hari bahagianya. 

"Alhamdulillah semuanya berjalan seperti yang dirancang dan  majlis pernikahan kami pun tidak jatuh sepanjang tarikh PKP dilaksanakan. Cumanya kami agak risau sekiranya PKP dilanjutkan kerana keutamaan kami nak selesaikan majlis akad nikah dahulu sebab majlis resepsi boleh diadakan kemudian," katanya. 

Menurut Ernie, antara sebab dia dan Syamel enggan berkongsi tarikh pernikahannya kerana bimbang berlaku pertukaran tarikh dan lokasi. 

"Salah satu sebab kami belum bersedia kongsi tarikh nikah kerana nak pastikan segala persiapan menuju hari bahagia mengikut segala SOP yang ditetapkan. 

"Tak nak jika beritahu sekarang nanti banyak perkara yang perlu diubah. Sekarang ini pengurus acara saya masih menunggu SOP baru untuk adakan majlis pernikahan. Apapun doakan semoga majlis pernikahan kami ini dipermudahkan," katanya yang sudah melangsungkan pertunangan dengan Syamel pada Ogos tahun lalu. 

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 5:49 PM