MOHD Rosdi. FOTO Arkib NSTP
MOHD Rosdi. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penerbit filem seram Syaitan Munafik, Datuk Mohd Rosdi Shair yang sudah 'terperam' sejak 2008 menolak tanggapan filem itu sebuah karya yang tidak berkualiti.

Rosdi yang menerbitkan filem itu di bawah syarikatnya MRE Network Alliance (M) Sdn Bhd berkata, isu lama atau sebaliknya bukanlah persoalan besar yang perlu dibangkitkan oleh mana-mana pihak. 

"Kalau nak dikatakan cerita lama, ia tetap sebuah cerita. Yang penting filem ini belum ada di pasaran. Dibandingkan dengan luar negara, ada juga filem yang lama terperap kerana pembikinannya. Namun ia mungkin agak berbeza dengan Malaysia. Di negara kita kadang-kadang terjadi kerana faktor kewangan, sabotaj dan sebagainya. Apa yang penting sekarang filem ini sudah siap dan sedia untuk ditayangkan. Apabila sampai masa yang sesuai, pasti akan ditayangkan kepada penonton," katanya kepada Harian Metro.

Rosdi berkata, kecaman daripada pihak yang tidak berpuas hati adalah lumrah dalam kehidupan. 

"Kadang-kadang orang tiada apa-apa nak dibuat dan ambil keputusan sesuka hati kecam hasil kerja orang. Sampai masanya, orang yang kecam saya akan tengok juga filem ini. 

"Mereka nak tahu apa yang lain sangat dalam filem yang 12 tahun terperam ini. Saya tak salahkan orang yang mengkritik kata filem ini dah lama dan sebagainya. Yang penting, apabila filem ini sudah ditayang, kalau ada rezeki dapat sambutan, orang yang kata negatif pun boleh jadi positif. Dia takkan selama-lamanya negatif kerana orang Malaysia suka ikut-ikutan," katanya. 

Rosdi mengambil contoh penonton yang mulanya berbelah bahagi untuk menonton filem Mail Totey The Movie arahan Syahmi Sazli.

"Apabila dah jadi, semuanya positif dan tonton filem ini. Saya memang ikut semangat dia. Kalau nak ikutkan, dugaan dulu pun dah buat saya patah semangat. Saya berpendapat kadang-kadang kecaman pun boleh jadi bahan promosi dan serahkan segala-galanya atas ketentuan rezeki," katanya.

Sementara itu, salah seorang pelakonnya, Faizal Hussein berkata, filem yang sebelum ini menggunakan judul Ee...Hantu sebenarnya sebuah filem yang menarik.

"Ia mengandungi tiga segmen cerita berbeza dan saya terbabit dalam salah satunya. Walaupun sudah lama, saya tetap meletakkan harapan agar filem ini dapat mencapai kutipan yang baik. Tambah lagi ia mempunyai variasi.

"Filem ini ada kemampuan sendiri kerana menggabungkan barisan pelakon Malaysia-Indonesia dan pengalaman dalam alam ghaib serta bunian. Boleh dikatakan ia karya menarik," katanya. 

Seorang lagi pelakon, Yank Kassim berkata, walaupun sudah lama dihasilkan, filem ini berpeluang ditayangkan selepas diubah dan dibuat semula.

"Tambah lagi kita ada banyak saluran pemamer seperti Astro First dan lain-lain. Kalau diikutkan filem ini dah dibuang ke dalam tong sampah. Tapi kerana dah lebih RM1 juta dibelanjakan, saya dan rakan-rakan berbincang semula dengan Datuk, kalau boleh nak selamatkan kerana ada jalan lagi. Tapi macam manapun tetap kena ada duit juga, cuma taklah sebesar yang dikeluarkan dulu. Akhirnya selepas berusaha keras, filem ini berjaya disiapkan," katanya. 

Menurutnya, asalnya ia genre filem semi komedi tetapi disunting semula bagi dihasilkan sebagai filem seram.

"Judulnya beberapa kali ditukar. Konsep filem ini dulu dikira segar pada waktu itu. Saya percaya jika disunting dengan betul masih boleh diterima. Hasil yang dulu memang menarik kerana selain seram, unsur komedinya masih ada.Yang penting sekurang-kurangnya filem ini dapat ditayangkan daripada dibuang dalam tong sampah," katanya.

Selain Faizal dan Yank, filem ini turut menampilkan lakonan Dea Lestari (Indonesia), Tessa Mariska (Indonesia), Ashraf Sinclair, Raja Farah, Ruminah Sidek, Dian P Ramlee, Airiz Yasmin, S Samsudin, Chik Pak Man Telo, Nabil Ahmad, Datuk Jalaluddin Hassan, Latif Borgiba, Fatimah Yahya, Zila Bakarin, Ramly Saleh, Munir, Linda Hashim, Nadia, A Galak, Fathil Dani, S Azli, Maidin dan Erry Putra.

Lima pelakonnya iaitu Ashraf, Maiden, S Samsudin, Latif Borgiba dan Fatimah Yahya sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 4:53 PM