AISAR kini terbabit dalam filem Gila Gusti dengan watak berbeza.
AISAR kini terbabit dalam filem Gila Gusti dengan watak berbeza.
Ridzuan Abdul Rahman


PEMBABITANNYA dalam seni bermula sebagai selebriti media sosial atau Instafamous sejak sekolah menengah.

Selain itu, Aisar Khaledd, 20, juga terbabit aktif dengan kempen kesedaran masyarakat apabila memuat naik video menerusi YouTube.

Ditakdirkan, rezeki menyebelahinya apabila pengarah Michael Ang melamarnya membintangi drama Chandelier yang mendapat tempat di hati penonton.

"Saya bersyukur sangat murah rezeki apabila ditawarkan berturut-turut untuk berlakon drama, telefilem dan filem. Saya mempertaruhkan bakat dan bukannya menjual muka semata-mata. Namun saya tak boleh buat apa-apa jika ada yang beranggapan begitu.

"Saya akui boleh berlakon dan bukan kayu. Apabila berlakon dengan nama besar seperti Izzue Islam, Mimi Lana dan Ben Amir, saya belajar ilmu lakonan daripada mereka," katanya.

Pelakon berdarah campuran Melayu-Jordan dan bertubuh tinggi lampai ini masih belajar dalam Diploma Pengurusan Pemasaran di sebuah kolej swasta di Sentul, Kuala Lumpur.

Kelas yang berjalan secara dalam talian sekarang memudahkannya menjalani penggambaran drama atau filem.

Tidak keterlaluan dikatakan dia antara muka baharu yang mendapat banyak tawaran berlakon sekarang.

"Saya baru habis penggambaran supertele berjudul Hantu Kelima membawakan watak utama seorang YouTuber. Ia menggandingkan saya dengan Izzue Islam, Raysha Rizrose dan Shiha Zikir ini akan ditayangkan menerusi Astro First pada Ramadan nanti.

"Memang saya serius nak jadi pelakon. Kalau dah rezeki, saya akan buat yang terbaik untuk balas kepercayaan yang diberikan oleh penerbit dan pengarah," katanya.

Aisar kini terbabit dalam filem Gila Gusti arahan Silver Chung yang sedang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur.

"Baru tahun ini saya betul-betul fokus pada filem. Sebelum ini saya banyak terbabit dalam megadrama. Saya teruja berlakon filem ini kerana lain daripada yang lain. Sebelum ini watak saya lebih kepada cinta dan samseng ringan. Namun ini sesuatu yang berbeza juga.

"Ini filem pertama saya. Seronok dapat berlakon dengan pelakon hebat seperti Syafie Naswip dan Elizabeth Tan. Sebelum ini saya hanya tengok lakonan mereka sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 6:18 AM