SHIRAZDEEN Karim. FOTO arkib NSTP
SHIRAZDEEN Karim. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Acara forum Alife Again: Mencipta Masa Depan Baru Untuk Acara Langsung (ALIFE Again) yang dijadualkan berlangsung pada 21 Januari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ditunda hingga ke penghujung Mac, depan.

Anggota majlis ALIFE Malaysia, Shirazdeen Karim ketika dihubungi berkata, keputusan itu dibuat bagi mematuhi perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Memandangkan situasi pandemik Covid-19 sekarang, kami terpaksa menunda acara itu ke penghujung Mac. Tarikh yang lebih spesifik akan diumumkan kelak," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihak Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (Alife) selaku penganjur melihat kesan jangka panjang krisis wabak ini terhadap industri acara langsung tanah air.

"Dah hampir setahun tak ada sebarang acara langsung yang diadakan dan memang ramai yang terkesan.

"Jadi, banyak alternatif lain perlu dilakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup sementara menantikan keadaan beransur pulih," katanya.

Acara forum itu dianjurkan untuk membincangkan mengenai masa depan industri acara langsung tanah air yang terkesan teruk.

Selain itu, acara ini juga akan turut mengangkat isu keselamatan yang sentiasa menjadi keutamaan penganjur acara berskala besar di samping mengetengahkan beberapa cadangan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta kementerian yang berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 3:57 PM