AWIE membawa watak Brother Love.
AWIE membawa watak Brother Love.
Riadz Radzi

Selepas sekian lama bergelar pelakon, barulah Datuk Awie 'berani' tampil dengan filem terbitan syarikat produksinya sendiri iaitu 10 Tips Tipu Bini.

Awie dalam satu temubual berkata, ada dua perkara membuatkan dia berdebar tahun ini. Pertama, dia bakal menimang anak keenam tidak lama lagi, dan kedua adalah kelahiran filem terbitan syarikatnya, Rumah Produksi Merah Sdn Bhd.

Selain penerbit, Awie turut berlakon dalam filem ini membawa watak pembantu sebagai Brother Love.

Apa yang menarik, baru sehari ditayangkan di Astro First pada 7 Januari lalu, filem arahan Azizi 'Chunk' Adnan ini terus menduduki carta pertama Astro First menewaskan filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal, Saka Nan Sepi, Peninsula dan Biskoth.

Saya yang berkesempatan menontonnya baru-baru ini mendapati jalan cerita filem berdurasi 104 minit ini agak ringkas. Ia mengisahkan mengenai tiga sahabat baik iaitu Raffi (lakonan Ropie), Kay (Khir Rahman) dan Jepp (Joey Daud) yang bekerja sebagai Pengarah Kreatif di agensi pengikanan Grand Poyo Advertising & Events milik Datuk Dean (Azlee Senario).

Walaupun memiliki kerjaya hebat, apabila di rumah masing-masing takut dengan isteri.

ANTARA babak dalam filem yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang .
ANTARA babak dalam filem yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang .

Mereka juga mempunyai kelab motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson diberi nama Dubuk Liar. Namun, dalam masa sama mereka turut mengalami krisis pertengahan usia yang sering dialami segelintir lelaki di mana mempunyai niat untuk melakukan sesuatu tetapi takut-takut.

Semuanya berubah dengan kehadiran tiga gadis cantik yang menjalani latihan praktikal di syarikat tempat mereka bekerja.

Dari situ, Raffi, Kay dan Jepp mula memasang niat nakal untuk memikat tiga gadis itu untuk dijadikan kekasih masing-masing.

Namun, masalah terbesar mereka ialah untuk 'menipu' isteri masing-masing. Pelbagai taktik digunakan antaranya 10 tips yang diperoleh daripada pakar cinta iaitu Brother Love lakonan Awie.

Secara peribadi, filem ini biasa saja. Dari awal kita sudah boleh tahu di penghujung cerita ketiga-tiganya pasti akan 'kantoi' dengan isteri masing-masing. Malah, di pertengahan cerita kita juga sudah boleh agak bagaimana mereka akan 'kantoi'.

Namun, kekuatan dan kelainannya ialah 10 Tips yang diberikan Brother Love itu. Itulah tunjang filem ini. Setiap kali mereka buntu untuk 'menipu' isteri, maka Brother Love akan muncul memberikan tips berkenaan.

Jika diamati, ia seperti boleh dipraktikkan oleh suami-suami nakal kerana hakikatnya, ia memang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Namun, adalah lebih baik ia dijadikan iktibar apabila melihat kesan yang berlaku akibat curang dengan pasangan.

Dari segi lakonan, hampir semuanya memberikan lakonan yang baik dan bersahaja. Mungkin ada 'seorang-dua' yang agak 'over-acting', namun ia tidaklah terlalu ketara. Saya sukakan lakonan yang menggunakan dialog bersahaja seperti yang kita tuturkan hari-hari. Tidaklah menggunakan bahasa 'standard' atau 'skema'.

TIGA gadis cantik lakonan Monica Picca (kiri), Elizabeth Tan (tengah) dan Amy Nur Tinie.
TIGA gadis cantik lakonan Monica Picca (kiri), Elizabeth Tan (tengah) dan Amy Nur Tinie.

Selaku pengarah, bagi saya Azizi ada sentuhan tersendiri. Secara peribadi, saya sukakan filem arahannya seperti Antoofighter : Amukan Drakulat! dan Kapoww! Dan, 10 Tips Tipu Bini ada sedikit unsur-unsur filem itu.

Mungkin ada yang tidak suka cara pengarahannya, tetapi Azizi ada sentuhannya. Sama seperti Mamat Khalid yang juga ada sentuhan tersendiri dalam filem-filem arahannya.

Bagaimanapun, untuk filem ini saya tidak suka dengan 'ending' atau pengakhirannya. Ia hanya tamat begitu saja! Maksudnya 'ending' filem ini tidak dikembangkan dan penonton tak puas dengan penamat begitu.

Namun, mungkin Awie selaku penerbit ada idea tersendiri. Babak akhir juga menyaksikan kemunculan watak Brother Love yang seolah-olah memberi bayangan filem ini ada sambungannya. Mungkin juga!

• FILEM : 10 Tips Tipu Bini

• PENGARAH : Azizi 'Chunk' Adnan

• PENULIS SKRIP : Armada Al Haq

• PELAKON : Datuk Awie, Khir Rahman, Joey Daud, Ropie, Vicha, Ziema Din, Nazia Mustafar, Jehan Miskin, Atu Zero, Azlee Senario, Nasir Bilal Khan, Elizabeth Tan, Monica Picca, Amy Nur Tinie.

• TERBITAN : Rumah Produksi Merah Sdn Bhd

• TAYANGAN : Astro First

• ULASAN : Riadz Radzi

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 6:18 AM