AHLI kelab Ranger Utara bergambar kenangan.
AHLI kelab Ranger Utara bergambar kenangan.
Ridzuan Abdul Rahman


BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul beban. Inilah situasi yang dilalui mangsa banjir di negeri pantai timur baru-baru ini.

Justeru, penderitaan ini turut menarik perhatian penyanyi Farid Nayan untuk tampil menghulurkan sumbangan bantuan

Pendatang

baharu berasal dari Kedah yang tampil dengan tiga single iaitu Deraian Cinta, Aqma'ku dan Izinkan Aku ini, berkunjung ke Manek Urai, Kelantan bersama rakan-rakannya untuk misi kemanusiaan dijalankan pada minggu lalu.

"Kami bergerak menyampaikan sumbangan dan dana daripada Kelab Ranger Utara, Radix Hallmart, Mee Suria dan Parlimen Jerai.

"Sumbangan ini berbentuk kelengkapan masjid iaitu sejadah, al-Quran, telekung, barangan keperluan asas serta makanan, pakaian sumbangan orang ramai, termasuk wang tunai kepada pengurusan masjid dan penduduk setempat.

"Sumbangan ini adalah hasil kutipan dana keseluruhan berjumlah RM11,000," katanya.

Menurutnya, mereka yang bergerak atas nama Ranger Utara itu rata-ratanya ahlinya dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bersyukur kerana mendapat kerjasama daripada pengurusan Istana Sangkut yang menyediakan penginapan mereka.

"Alhamdulillah, kami dapat kerjasama yang baik dari pelbagai pihak dan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

FARID kini hadir dengan single ketiga berjudul Izinkan Aku.
FARID kini hadir dengan single ketiga berjudul Izinkan Aku.

"Cuma, perasaan saya memang sangat tersentuh dan simpati sebaik sampai di lokasi banjir terbabit apabila melihatkan keadaan dialami penduduk.

"Ditambah lagi, dengan situasi pandemik Covid-19 ketika ini, memang keadaannya sangat berbahaya," katanya.

Kata Farid lagi, dalam keadaan harus menjaga keselamatan diri akibat banjir, penduduk juga terpaksa menjaga diri masing-masing agar tidak terkena jangkitan Covid-19.

"Ketika kami sampai, alhamdulillah banjir dah surut dan hanya tinggal kesan sahaja. Sukar digambarkan perasaan hiba saya melihat keadaan anak kecil yang leka bermain-main tanpa faham apa yang berlaku.

"Dalam masa sama, ibu bapa mereka gigih membersihkan rumah yang amat teruk keadaannya. Apapun, syukur kami dapat juga selesaikan amanah yang dipertanggungjawabkan.

KEADAAN sekitar rumah penduduk kampung yang menyedihkan.
KEADAAN sekitar rumah penduduk kampung yang menyedihkan.

"Kami serahkan kepada pihak masjid dan juga wakil penduduk untuk diedarkan sumbangan dan bantuan berkenaan kerana tidak dapat bergerak untuk berkunjung ke setiap rumah berikutan keadaan Covid-19 ini," katanya.

Dalam perkembangan lain Farid berkata, dia gembira lagu ketiga nyanyiannya berjudul Izinkan Aku sudah mula mendapat perhatian, tahun ini.

"Lagu ini menarik kerana mendapat sentuhan ciptaan Jasz bersama Asri Davina, manakala lirik pula oleh Afisz Aris dan saya sendiri. Uniknya lagi, susunan muzik lagu ini dibuat oleh Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Mahathir dari Johor.

"Selain itu, karya ini juga diterbitkan oleh Prestiges Entertainment Production dan diedarkan pula dibuat Indigital Music," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 6:35 AM