WAWA (kanan) bersyukur ujian saringan Covid-19 bersama tiga anaknya disahkan negatif. FOTO Arkib NSTP
WAWA (kanan) bersyukur ujian saringan Covid-19 bersama tiga anaknya disahkan negatif. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon, Wawa Zainal bersyukur apabila ujian saringan Covid-19 bersama tiga anaknya disahkan negatif, hari ini.

Wawa berkata, keputusan itu diperoleh selepas membuat ujian RT-PCR, petang semalam walaupun sebelum itu hasil ujian menerusi Rapid Test Kit (RTK) adalah negatif.

"Alhamdulillah, pagi tadi dimaklumkan kami semua negatif. Namun, kami kena menjalani proses kuarantin selama 10 hari. Apatah lagi saya adalah kontak rapat kepada suami yang disahkan positif, semalam.

"Sejak semalam saya juga tidur bilik berasingan dengan anak-anak. Walaupun negatif, tapi tetap risau kerana saya ada anak kecil. Kalau keluar dari bilik pun saya akan pakai dua pelitup muka.

"Nasihat saya, kepada yang menjalani kuarantin di rumah kena juga patuh prosedur operasi standard (SOP). Amalkan pemakaian pelitup muka dan sanitasi tangan. Paling penting, jangan sesekali keluar rumah. Ingatlah orang sekeliling kita. Saya bersyukur ada ibu dan pembantu rumah yang boleh tengok dan jagakan anak-anak," katanya.

Ditanya mengenai keadaan suaminya yang juga pelakon, Aeril Zafrel, Wawa berkata, Aeril mengadu rasa kebas di bahagian lidah.

"Ini hari ketiga dia menjalani kuarantin kendiri di rumah. Dia berada di bilik tingkat atas yang lengkap dengan tandas. Jadi, dia memang tidak keluar langsung. Difahamkan, kalau tidak ada gejala teruk, boleh terus berada di rumah.

"Cuma hari ini dia mengadu berasa kebas di bahagian lidah. Harapnya tidak ada apa-apa yang serius," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Aeril bersama pengurusnya disahkan positif Covid-19 selepas membuat ujian saringan, kelmarin.

Aeril berkata, dia mungkin dijangkiti virus itu ketika menghantar pengurusnya yang mengalami demam panas ke klinik, Isnin lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 1:05 PM