Barisan pelakon drama Mistress Hermanas.
Barisan pelakon drama Mistress Hermanas.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pasukan produksi dan pelakon drama Mistress Hermanas akur dengan arahan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mencadangkan kepada syarikat produksi yang sedang menjalankan aktiviti penggambaran di negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) supaya segera pulang ke ibu kota.

Pengarahnya, Riza Baharudin berkata, dia bersama pasukan meneruskan penggambaran di negeri Perlis sebelum pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 11 Januari lalu.

Menurut Riza, selepas negeri itu juga diumumkan terbabit dalam PKP bermula hari ini sehingga 4 Februari dan keluar arahan daripada Finas, mereka mengambil keputusan untuk pulang ke ibu kota.

"Selepas Finas keluarkan surat meminta produksi yang ada di negeri PKPP atau PKPB untuk pulang, kami terus ambil keputusan hentikan penggambaran dan pulang ke Kuala Lumpur. Kami sudah ada di Perlis sejak semalam. Mahu atau tidak kena ikut arahan Finas sebelum timbul isu dan masalah lain pula.

"Kami bergerak ke Perlis sebelum kerajaan umumkan PKP di enam negeri lagi. Ingatkan Perlis tidak akan terbabit sebab sebelumnya PKPP, tapi apabila diumumkan juga terbabit PKP, kami kena akur. Kami hanya sempat menjalani penggambaran selama lapan hari," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Riza, drama 65 episod itu sudah menjalani penggambaran selama 17 hari dan dijangka mengambil masa antara 150 ke 170 hari.

"Sekiranya selepas ini PKP ditamatkan di sana dan boleh rentas negeri, kami akan ke sana semula untuk meneruskan penggambaran. Ini kerana ada beberapa lokasi penting yang memang kena buat di sana, manakala selebihnya memang di Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, sepanjang menjalani penggambaran di sana saya memang ketatkan prosedur operasi standard (SOP). Saya tidak benarkan orang luar masuk set. Malah, saya arahkan kru berkenaan untuk buat sanitasi setiap dua jam sekali.

"Sekiranya drama ini mendapat sambutan penonton dan stesen TV suka, mungkin episod akan bertambah," katanya.

Drama yang bakal ditayangkan di saluran Astro Prima itu menampilkan barisan pelakon seperti Amar Baharin, Isyariana, Zamarul Hisham, Mona Allen, Shah Iskandar dan ramai lagi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 4:33 PM