CASTIGATE pernah ucapkan selamat tinggal kepada bidang muzik pada 2001.
CASTIGATE pernah ucapkan selamat tinggal kepada bidang muzik pada 2001.
Ridzuan Abdul Rahman

BARANGKALI sebahagian besar peminat muzik berat tanah air generasi sekarang tidak begitu mengenali kumpulan Castigate.

Namun, mereka yang lahir sekitar era 1970-an dan 1980-an serta membesar dengan lagu irama berat, sudah pastinya cukup mengenali Castigate.

Bahkan, mereka pasti tidak ketinggalan menyaksikan sendiri kumpulan ini ketika hadir gig atau konsert berskala kecil yang cukup meriah satu ketika dahulu.

Castigate yang diasaskan di Singapura pada 1995 diilhamkan oleh Iskandar atau Man Black selaku penyanyi, Edi Homicide (dram) dan Ley (bass).

Mereka turut mengundang Azizi Mohamad atau Bob sebagai pemain gitar utama yang ketika itu masih bersama Demisor dan Idris (gitar kedua) serta diwarnai dengan penampilan penyanyi wanita iaitu Seri Aliyah.

Dua tahun selepas itu, Castigate tampil dengan EP pertama berjudul Plectrum Loveless Method terbitan Small Budjet Production yang berpangkalan di Johor Bahru.

EP yang dikeluarkan dalam format kaset itu berjaya terjual lebih 500 unit selepas mereka tampil beraksi di beberapa gig yang diadakan sebagai promosi untuk peminat mendekati dan mengenali Castigate dengan lebih dekat.

EP yang dirakamkan di TNT Studio, Singapura itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pencinta muzik underground apabila Castigate adalah kumpulan yang mula beralih paksi ke arah genre doom dan death metal.

Selepas lebih 24 tahun usia EP ini, Castigate kini mengeluarkan semula EP ini dalam format cakera padat (CD).

"Kami amat berbesar hati untuk menghadiahkan sesuatu buat penyokong yang tak jemu-jemu memberikan sokongan dari dulu hingga kini.

"Sebanyak 300 keping CD sudah dicetak dan lebih menarik Castigate turut mengeluarkan 50 helai kemeja-T serta poster sebagai hadiah buat pembeli," kata Bob.

Menurutnya, pada 1999 mereka menghasilkan dua lagu baharu yang sepatutnya dikeluarkan dalam format piring hitam oleh produksi luar, tetapi malangnya terkubur begitu saja tanpa sebarang khabar.

Gig terakhir Castigate berlangsung pada 2000 di East Coast Park Singapura apabila Gee dari kumpulan Athotorgh dan Wira (Necrotic Chaos) turut diundang sebagai pemuzik undangan.

Kumpulan ini terpaksa pasrah pada pelbagai rintangan dan halangan keluarga yang menyaksikan pengakhiran mereka pada 2001 apabila masing-masing mencari hala tuju sendiri demi kelangsungan hidup.

Selain mengekalkan lagu lama yang ada dalam kaset, Castigate turut merakamkan dua lagu yang belum pernah dikeluarkan sebagai bonus .

Antara lagu yang terdapat dalam format CD adalah My Loveless Labyrinth, Sleepless Channels, Strings Of Thought, Berbaris Resah dan Death Hears No Pleas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 6:30 AM