DAYAH bersama suami dan anaknya. FOTO IG DAYAH BAKAR
DAYAH bersama suami dan anaknya. FOTO IG DAYAH BAKAR
Sudirman Mohd Tahir


 

Pengacara Dayah Bakar akhirnya dapat berjumpa dengan suami tercinta, Muhammad Hanif Hamidi yang bertugas di Australia selepas setahun menjalani perhubungan jarak jauh pada 19 Januari lalu.

Pertemuan itu lebih bermakna apabila Dayah membawa bersama anak sulung mereka, Achbar Muhammad Fahri yang kini berusia lima bulan.

"Bagai satu perjalanan panjang sebenarnya untuk menikmati detik kembali bersama suami. Semestinya menemukan  anak kami buat kali pertama depan mata suami.

"Untuk bertemu dengannya juga seiring dengan normal baharu dan situasi pandemik, saya serta anak harus menjalani kuarantin di sana.

"Saya bertolak dari Malaysia sejak 4 Januari. Hanya pada 19 Januari kami dapat kembali bersama. Nikmat indah dapat menyatukan kami bertiga kerana selama ini saya juga tewas dengan juraian air mata saat perlu membuat itu dan ini tanpa suami. Setiap keperitan itu pasti akan ada kemanisan. Syukur Allah memberi kekuatan untuk saya menempuhinya," katanya

Menurut Dayah, perjalannya ke sana membuatkan dia mengambil keputusan untuk menetap di sana selama setahun.

"Untuk membuat keputusan ke sini, bererti saya harus melakukan banyak pengorbanan serta kebiasaan yang sering dilakukan di Malaysia.

"Saya percaya dalam hidup ini pasti ada keperluan dan kehendak . Namun saya juga tak boleh mementingkan diri," katanya.

Biarpun memilih untuk tinggal seketika di sana, Dayah yang juga bekas pengacara program Borak Kopitiam tetap bekerja dari sana bagi melunaskan komitmen yang sudah dipersetujui awal.

"Sesuai dengan normal baharu juga banyak kerja dilakukan dalam talian. Sejak tahun lalu, kerja dan tanggungjawab saya pun dibuat dari rumah.

"Banyak peluang mengacara, menjadi perantara dan 'speaker' juga untuk acara dalam talian. Perniagaan tudung saya, Modestybydayahbakar pun berjalan macam biasa

"Cuma tugas saya untuk mengacara di kaca TV terpaksa dilupakan dulu. Saya akan berehat selama setahun daripada mengacara di Tv. Namun minat saya itu takkan berkubur begitu saja. InsyaAllah ada rezeki, tak ke mana," katanya.

Suami Dayah bertugas sebagai pegawai tentera berpangkat kapten di Canberra, Australia.

Dayah dan suami berkahwin pada Jun 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 1:42 PM