PROJECT EAR harap karya lagu Dark Times menjadi pembakar semangat  dalam menghadapi kehidupan pada tahun ini.
PROJECT EAR harap karya lagu Dark Times menjadi pembakar semangat dalam menghadapi kehidupan pada tahun ini.
Syafil Syazwan Jefri


TAHUN 2020 yang baharu sahaja meninggalkan kita berlalu dengan parut yang tentunya akan diingati oleh seluruh dunia.

Bagi

'supergroup' Asia Tenggara dikenali Project EAR, tahun lalu tidak hanya terkesan akibat pandemik Covid-19, tetapi juga kerana kehilangan vokalisnya, Jamir Garcia yang meninggal dunia.

Bagi menghargai tragedi yang berlaku, Project EAR hadir dengan single baharu berjudul Dark Times hasil ciptaan 'master' rock dan hip hop dari seluruh Asia Tenggara.

Karya Dark Times adalah suara harapan yang memancar dan penuh keberanian dalam menghadapi kesulitan.

Meletakkan penekanan lirik terhadap hip hop dan kekuatan dorongan rock, kumpulan ini menunjukkan kehebatan dalam menghasilkan muzik yang melangkau jangkaan.

Dengan kehebatan bunyi, di mana vokal bertemu instrumen dan momentum yang begitu terkesan, ada mesej yang bersinar seterang cahaya semangat manusia yang tidak dapat dipadamkan.

Salah seorang anggotanya, Moots yang juga anggota kumpulan Pop Shuvit berkata, tidak mudah buatnya serta rakan seperjuangan dalam Project EAR untuk membuat keputusan bagi mengeluarkan karya ini.

"Ia bukan keputusan yang mudah untuk mengeluarkan karya ini, tetapi melihat kembali semua mesej dan perbualan kami (bersama Jamir), itu adalah sesuatu yang dia benar-benar mahu didengar oleh dunia.

"Ia adalah lagu terakhir yang dia rakam dan dengan kata-katanya sendiri, malah ini adalah masa yang tepat untuk membicarakannya. Jamir adalah seorang yang berhati mulia kerana selalu mengutamakan orang lain dan sentiasa ingin melakukan kebaikan melalui muziknya.

"Saudara kami ini (Jamir), sekarang sudah meninggalkan kita tetapi muzik dan warisannya akan terus hidup," katanya.

JAMIR Garcia
JAMIR Garcia

Sehubungan itu, bagi tahun ini pula akan menjadi tahun untuk penyembuhan dan pertumbuhan.

Ujarnya, ketika kita teruskan kehidupan di dalam tahun ini, semoga karya lagu Dark Times menjadi pembakar semangat buat kita semua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 6:45 AM