X
ZALIF (kiri) kehilangan bapanya (kanan) akibat kanser paru-paru.
ZALIF (kiri) kehilangan bapanya (kanan) akibat kanser paru-paru.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Bapa pelakon Zalif Sidek, Wan Abu Bakar Sidek Wan Abdullah meninggal dunia di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya, petang semalam dan akan dikebumikan hari ini.

Zalif, 36, memaklumkan bapanya sudah setahun menghidap penyakit kanser paru-paru dan mempunyai masalah jantung.

Kelmarin, arwah mengalami sesak nafas selepas makan malam di rumah sebelum dikejarkan ke IKN untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Selepas makan malam, ayah semput, cuba guna gas oksigen hidung pun tak jalan. Terus telefon ambulans untuk hantar ke bahagian kecemasan IKN, Putrajaya," katanya.

Terdahulu, bapa Zalif pernah menjalani rawatan penyakitnya itu di Hospital Putrajaya. Kemudian, arwah menjalani rawatan susulan di rumah sahaja.

Menurut Zalif, urusan pengebumian jenazah bapanya dijalankan di kediaman mereka di Bangi Avenue pada jam 10 pagi, hari ini.

Bagaimanapun, dia tidak menggalakkan sesiapa melawat demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 10:59 AM