Wendy Williams
Wendy Williams
Agensi

Pengacara popular, Wendy Williams berharap bakal teman lelaki yang akan menjadi peneman hidupnya bukan dalam kalangan selebriti atau orang dikenali ramai.

Williams berkata, dia juga enggan teman lelaki yang bakal dikenali lebih popular berbanding dirinya atau terbabit dalam dunia seni.

"Saya kini berusia 56 tahun sekarang. Saya juga seorang ibu tunggal yang sudah bebas apabila tidak terikat dengan sesiapa seperti sebelum ini.

"Saya harap bakal teman lelaki nanti turut menjadi bakal suami saya. Namun, saya enggan teman lelaki saya terbabit dalam dunia seni. Dia perlu menghormati keputusan saya sebagai pengacara dan apa saja bentuk hiburan yang saya buat serta jangan sesekali melarang saya dalam bidang ini," katanya.

Selain itu, Williams turut mengimpikan teman lelaki yang sebaya atau lebih tua daripadanya.

Menurut Williams, selepas bercerai dengan Kevin Hunter tahun lalu, dia teruja untuk melihat kerjaya seninya lebih berkembang dan ingin mengejar pelbagai impian hidup.

"Sekarang saya adalah bos untuk diri saya. Jika sebelum ini Hunter mengawal segala gerak-geri dan menentukan hala tuju hidup saya selama 22 tahun kami hidup bersama, sekarang adalah masa untuk saya mengatur hidup sendiri.

"Saya ingin menerbitkan banyak karya baru dan dibintangi oleh insan-insan hebat. Ini kerana saya bukan seorang pelakon dan saya ingin menjadi sebahagian daripada penerbitan itu sebagai penulis. Satu hari nanti saya juga ingin duduk di kerusi pengarah. Saya ingin mengarahkan sesuatu produk untuk dinikmati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 8:50 PM