DANIAL terpaksa tangguhkan dulu promosi single terbaharu, Ku Tak Rela.
DANIAL terpaksa tangguhkan dulu promosi single terbaharu, Ku Tak Rela.
Syafil Syazwan Jefri


TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tentunya memberi kesan bukan sahaja kepada fizikal, bahkan mental seseorang.

Bagi penyampai radio, pelawak dan penyanyi, Danial Zaini, tempoh diduga ini sebaiknya digunakan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.

"Ketika dunia dilanda Covid-19, tentunya ia menjadi tempoh yang sukar buat kita semua. Namun, inilah masanya untuk kita semua mendekatkan diri kepada Tuhan," katanya.

Menurutnya, ujian yang diturunkan Allah ini umpama menjadi petunjuk supaya kita sebagai manusia bermuhasabah diri.

"Dengan apa yang berlaku, takkan kita masih tak nampak apa yang ingin ditunjukkan oleh-Nya. Pada saya, ini masa terbaik untuk kita bermuhasabah diri.

"Ramai yang kehilangan pekerjaan apabila Covid-19 melanda dunia. Apapun, kita berbalik kepada Allah kerana dia yang memberikan dan menyusun rezeki kita.

"Allah tarik sesuatu kerana ada hikmahnya dan dia akan berikan sesuatu yang lebih baik. Sentiasa ingat hakikat itu," katanya.

Berkongsi mengenai kesan pandemik ini terhadap kerjaya seninya, Danial berkata, dia juga terpaksa membatalkan banyak perancangan.

"Kerja sebagai penyampai radio masih berjalan seperti biasa. Tapi, beberapa program TV antaranya Muzikal Lawak Superstar terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

"Program lain seperti rangka promosi untuk single terbaharu saya, Ku Tak Rela juga terpaksa ditangguhkan," katanya.

Menurut Danial, dia sepatutnya mempromosikan lagu ini di Sabah, Sarawak dan Indonesia.

"Kalau ikutkan rancangan asal, rangka promosi akan turut dijalankan di Sabah dan Sarawak. Selain itu, lagu ini juga sudah mula dilancarkan di Indonesia dan kami merancang untuk ke sana juga.

"Namun, kita pun tak pasti bila pintu sempadan negara akan dibuka. Jadi, semua rancangan itu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu," katanya.

Berkongsi mengenai lagu Ku Tak Rela ciptaan Hadi Rumnan itu, Danial bersyukur kerana menerima sambutan yang menggalakkan.

"Saya bersyukur kerana ia diterima baik. Saya sendiri pun tak sangka ia akan mendapat sambutan kerana di peringkat awal, timbul juga kebimbangan jika lagu berentak perlahan nyanyian saya kurang diterima.

"Setakat ini, video muziknya juga sudah ditonton hampir lima juta tontonan di YouTube dan saya harap, ia akan terus diterima dengan baik oleh peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:34 AM