Jehan dan isteri, bersama bayi mereka, Axel Nova Rhee yang lahir, Sabtu lalu.
Jehan dan isteri, bersama bayi mereka, Axel Nova Rhee yang lahir, Sabtu lalu.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Jehan Miskin dan isteri, Julie Camelia Rhee menerima kehadiran cahaya mata pertama mereka pada jam 12.15 pagi Sabtu lalu.

   Jehan dihubungi berkata, isterinya selamat melahirkan bayi lelaki mereka seberat tiga kilogram di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara.

   "Bayi kami lahir awal. Isteri saya sepatutnya dijangka bersalin sekitar minggu pertama Mac. Jadi, doktor buat pembedahan kecemasan. 

   "Berat badan pun dikira cukup baik meski dia dilahirkan dua atau tiga minggu lebih awal dari tarikh jangkaan," katanya kepada Harian Metro.

   Menurut Jehan, bayinya dinamakan Axel Nova Rhee lahir dengan diiringi letupan di sekeliling hospital sempena perayaaan Tahun Baru Cina Hokkien.

   "Boleh dikatakan kelahiran bayi Axel meriah disambut letupan mercun di sana sini," katanya bergurau.

   Pelakon filem 10 Tips Tipu Bini ini amat teruja bergelar bapa. Dia memaklumkan isteri dan bayi mereka dalam keadaan baik.

   "Buat masa ini, mereka berdua masih berehat lagi di hospital. Sebaik keluar hospital nanti, isteri akan menjalani tempoh berpantang di rumah bersama keluarga," katanya. 

   Sementara itu, perkongsian Jehan berkenaan kelahiran Axel Nova Rhee menerusi Facebooknya mendapat maklum balas positif daripada rakan artis, kenalan dan peminat.

   Mereka mengucapkan tahniah dengan kehadiran orang baharu dalam rumah tangga pasangan ini. Terdahulu, Jehan dan Julie Camelia Rhee mendirikan rumah tangga pada Mei 2013.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 8:49 AM