GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penggiat industri kandungan tempatan menyambut baik tindakan terbaharu pihak berwajib dalam memerangi isu cetak rompak digital yang giat berlaku di negara ini. Rata-rata bersetuju bahawa hukuman dikenakan ke atas perbuatan cetak rompak digital adalah tidak setimpal. 

Pesalah-pesalah terbabit mengakibatkan kerugian ekonomi berterusan jika tidak dibendung, dan impaknya menjejaskan penggiat industri dan seluruh ekosistem negara. Kerugian tahunan disebabkan jenayah itu dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada industri media dan hiburan.

Justeru, penggiat industri merayu kepada kerajaan untuk melakukan kajian semula ke  atas undang-undang sedia ada. Ia tidak memberi perlindungan menyeluruh kepada  pemilik hakcipta yang merangkumi setiap kerja-kerja kreatif diusahakan. 

Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam berkata, tanpa usaha dan  keazaman dari pihak berwajib, kegiatan cetak rompak digital akan terus berlaku. Menurutnya, jenayah itu bukan perkara baharu dan perlu diatasi sebaik mungkin oleh pihak penguatkuasa.

"Saya kesal melihat retorik yang kosong tanpa membawa sebarang penyelesaian kepada isu sebenar. Tanpa undang-undang yang tegas, cetak rompak akan berterusan dan merebak  seperti barah kepada industri kreatif negara dan penggiatnya," katanya.

Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem (PFM), Zahrin Aris berkata penaliti dikenakan ke atas mereka yang menggunakan kotak media mengandungi kandungan tidak mendapat kebenaran sah hakcipta dilihat agak ringan.

"Hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada mereka. Nilai kerugian yang perlu ditanggung oleh kerana cetak rompak ini sudah tentu lebih tinggi berbanding hukuman denda dikenakan hanya RM30,000," katanya.

Bagi Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi pula berpendapat cetak rompak  digital sudah lama membelenggu industri kreatif tanah air. Dia berharap hukuman yang dikenakan baru-baru ini bakal memberi sinar baharu kepada industri.

"Semoga kes terbabit dijadikan penanda aras, seterusnya memberi keadilan kepada pemain industri kreatif tempatan khususnya yang rata-rata menjadi mangsa kepada perbuatan jenayah ini," katanya.

Pengarah Kawal-Selia Astro, Laila Saat berkata pihaknya mengalu-alukan tindakan dikenakan ke atas penjual Peranti Perisian Penstriman Haram (ISD). Pihaknya berjanji terus  bekerjasama dengan pihak berwajib dan rakan-rakan penyedia kandungan untuk bertegas mengenai cetak rompak.

Manakala, Ketua Pegawai Pemasaran Star Media Group, Lam Swee Kim berkata, hukuman penalti dikenakan perlulah setimpal bagi mencerminkan impak buruk yang berlaku kepada penggiat  industri. 

Selain kerugian RM3 bilion, jenayah itu juga mengakibatkan kehilangan sejumlah RM500 juta cukai pendapatan serta menyebabkan beribu-ribu individu kehilangan pekerjaan.

 Pada 8 Februari lalu, sebuah syarikat IT di Shah Alam menjadi yang pertama didakwa akibat melanggar Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hakcipta 1987 kerana menjual apa-apa teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi terbabit dalam subseksyen 36A (3), akta yang sama. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan  Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Pengarah terbabit mengaku bersalah dan sedang menunggu hukuman di  mahkamah pada 1 Mac ini.  

Pada 16 Februari, seorang wanita berumur 46 tahun mengaku bersalah di atas pertuduhan  memiliki enam (6) unit Kotak TV Media yang mempunyai aplikasi siaran Astro menerusi  internet secara tidak sah.

Tertuduh didenda sebanyak RM30,000 di bawah Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menjadikannya sebagai pesalah pertama disabit kesalahan menjual peralatan ISD. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 11:49 AM