ROSLIEE (tiga dari kiri) memenangi pingat gangsa.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Pengalaman Rosliee Suyut selama enam jam ‘menemani’ mayat yang sudah busuk selepas tiga hari meninggal dunia menjadi kenangan tidak dapat dilupakannya sepanjang 23 tahun berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketika itu, Rosliee yang kini bertugas sebagai Penyelia Pasukan di Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sabah terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat
seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang lemas.

Menurutnya, lokasi operasi adalah di pedalaman manakala saiz sungai kecil, berbatu dan airnya deras menyebabkan bot tidak boleh memasuki kawasan itu.

“Saya bersama tiga anggota membawa keluar mayat menggunakan kaedah hanyut dengan pelampung manakala mayat diletak di atas batang pisang.

“Kami meletakkan mayat di bahagian hadapan bagi mengelakkan ia terlepas dibawa arus, namun itu menyebabkan kami terminum air sungai yang bercampur bau busuk mayat,” katanya.

Menurut Rosliee, meskipun operasi itu sangat mencabar tetapi dia bersyukur kerana mereka berjaya mengharungi arus deras dan membawa keluar mayat.

Baru-baru ini, Rosliee mengharumkan nama negara apabila menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi pertandingan angkat berat bagi kategori ‘Push and Pull’.

Rosliee memenangi tempat ketiga pada pertandingan ‘Chengdu 2019 World Police & Fire Games’ di China pada 15 Ogos lalu.

Menurut Rosliee, dia hanya mampu mengangkat besi seberat 300 kilogram (kg) dalam dua pusingan pada keseluruhan pertandingan disebabkan kecederaan bahu.

“Pusingan pertama iaitu ‘bench press’, mengangkat besi seberat 120kg, manakala pusingan kedua pula iaitu ‘death lift’ mengangkat besi seberat 180kg.

“Pertandingan dalam kategori itu adalah paling sukar berbanding acara angkat berat yang pernah saya sertai sebelum ini,” katanya.

Untuk rekod, Rosliee dinobatkan juara pada pertandingan ‘World Firefighters Games’ di Chungju, Korea Selatan tahun lalu dan berkecimpung dalam sukan bina badan sejak 2007.

Rosliee berkata, minat mendalam dalam sukan bina badan dan angkat berat menjadi batu loncatan untuk mewakili JBPM dalam sukan itu di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 5:10 AM