MELIHAT banduan berlatih muzik. FOTO Rosela Ismail
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

ADA 1,001 kisah di sebalik tirai besi dan hanya mereka yang bertugas di penjara berpeluang melaluinya termasuk Pegawai Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah Penjara Kajang, Mohd Mazlan Dollah.

Dia sering menjadi tempat banduan meluahkan perasaan terutama yang tidak boleh menerima hakikat perlu meringkuk dalam penjara.

Mohd Mazlan berkata, antara pengalaman sukar dilupakan kisah banduan wanita berusia 25 tahun yang didapati bersalah akibat kes dadah.

Katanya, wanita itu bersungguh-sungguh meyakinkannya yang dia tidak bersalah dan dadah ditemui dalam kereta dinaiki bersama rakan bukan miliknya.

“Dadah itu didakwa milik rakannya dan wanita ini tidak mengetahuinya (dalam kereta ada dadah) hinggalah ditahan polis bersama rakan pada sekatan jalan raya di sebuah negeri di pantai timur pada 2013.

“Wanita ini berkongsi kisahnya ketika saya menemuduganya untuk bekerja dalam bengkel vokasional dan industri (membuat pastri) di penjara,” katanya.


MOHD Mazlan. FOTO Rosela Ismail

Menurutnya, dia simpati mendengar kisahnya dan menenangkan banduan itu yang sangat emosi.

“Dalam situasi seperti ini, lazimnya saya memberi motivasi kepada banduan kerana tidak mahu mereka terus tertekan.

“Sokongan moral penting bagi mengelakkan banduan mengambil tindakan di luar jangkaan seperti mencederakan diri,” katanya.

Mohd Mazlan berkata, dia cuba mendampingi banduan dan membantu mereka yang mempunyai masalah selain memberitahu mereka masih berpeluang menjalani kehidupan lebih baik apabila dibebaskan.

Selain itu, perkara lain yang menyentuh hatinya apabila banduan merayu hukuman sebat dikurangkan selepas dia membacakan perintah rotan terhadap banduan terbabit.

“Hukuman sebat antara perkara ditakuti banduan kerana kesan lukanya mengambil masa lebih sebulan untuk sembuh.

“Ia bagaikan igauan ngeri dalam kalangan banduan yang dijatuhi hukuman ini,” katanya.


MOHD Mazlan bersama banduan yang melanjutkan pengajian tinggi. FOTO Rosela Ismail

Berkongsi pembabitan awal dalam kerjaya itu, Mohd Mazlan berkata, ia bukan pilihan pertamanya namun memang meminati kerjaya dalam pasukan beruniform.

“Saya ambil masa beberapa tahun untuk menyesuaikan diri bekerja di tirai besi bermula di Penjara Sarawak.

“Kemudian dipindahkan menjadi Pegawai Parol di Penjara Kuantan, Pahang dan di situ hati terbuka sepenuhnya untuk bekerja dalam penjara,” katanya.

Dalam pada itu, dia menasihati masyarakat supaya membuang stigma negatif terhadap banduan yang sudah menjalani tempoh hukuman kerana tindakan sedemikian menyebabkan mereka berputus asa dan berisiko kembali terbabit dengan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:00 AM