MAMALIA darat terbesar berperanan besar imbangi ekosistem hutan.
Zaitie Satibi


‘GAJAH mati meninggalkan tulang.’ Sepertinya bait pepatah yang sering kita dengar ini yang bermaksud orang berjasa meninggalkan nama yang baik, tidak sepadan bagi menggambarkan laporan media berkaitan mamalia darat terbesar itu kerana ia mati meninggalkan duka mendalam.

Haiwan berkenaan sama ada mati dilanggar kenderaan, termakan racun mahupun sakit akibat kekurangan nutrisi adalah bukti habitat asalnya diganggu sehingga hidupan liar itu memasuki kawasan penempatan penduduk di negara ini.

Habitat yang semakin mengecil memaksa gajah keluar mencari makanan luar daripada kawasan tempat tinggalnya dan menimbulkan konflik antara gajah dan manusia. Gajah akan berkeliaran dalam hutan berhampiran ladang yang lazim ditanam kelapa sawit dan pisang berikutan menyediakan sumber makanan yang mudah.

Konflik gajah dan manusia bukanlah perkara baru kerana ia sudah bermula sejak 1950-an selepas penjajah Inggeris pada masa itu aktif membuka tanah untuk kegiatan pertanian seperti getah, kelapa sawit, koko dan kopi terutamanya di Perak, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan.

Kesan pembukaan ladang untuk pertanian itu menyebabkan habitat gajah terganggu kerana sebahagian kawasan tempat tinggal gajah yang dilitupi hutan dijadikan sebagai lokasi penanaman. Pembangunan berleluasa dalam ‘merampas’ habitat gajah menjadi ancaman terbesar kepada kepupusan haiwan ini.


PENJAGA gajah memandikan anak gajah.

Perubahan ini menyebabkan populasi gajah kehilangan tempat tinggal sehingga kawasan haiwan itu mencari makanan menjadi terhad, manakala laluannya dihalang sekali gus ia terpaksa menceroboh masuk dan membuat gangguan di kawasan ladang serta kebun penduduk. Tanaman dimusnahkan dan dimakan gajah yang kelaparan.

Jalan penyelesaian mudah diambil bagi mengatasi konflik kedua-duanya adalah dengan menembak mati gajah yang memasuki ladang pertanian berkenaan menerusi lesen pemburuan gajah. Memasuki era 1960-an, sektor pertanian semakin rancak dan kaedah penyelesaian masih sama.

Pada 1970-an, lebih banyak kawasan hutan tanah pamah dibuka untuk penanaman kelapa sawit menerusi agensi Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra). Pembunuhan gajah masih berjalan berikutan kesedaran mengenai konservasi hidupan liar pada masa itu masih di tahap sangat rendah.

Khuatir jika pembunuhan gajah dibiarkan berterusan menyebabkan spesies ini pupus, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mula mengambil langkah untuk memulihara haiwan itu. Selain menghentikan pengeluaran lesen pemburuan dan cuba elak tindakan tembak mati jika ada aduan serangan gajah, Unit Tangkapan Gajah ditubuhkan pada 1974.

Sehingga 1980-an banyak kawasan hutan pamah yang menjadi habitat utama gajah diteroka dan ditanam dengan kelapa sawit dan getah. Selain itu, banyak juga kawasan hutan dibuka untuk membina lebuh raya dan kawasan empangan.

Biarpun pembukaan hutan berkurangan penghujung 1990-an, tetapi penerokaan secara kecil-kecilan masih berterusan yang menghasilkan fragmentasi hutan iaitu proses perubahan persekitaran fizikal sesuatu habitat menyebabkan ia berpecah menjadi beberapa bahagian. Aktiviti pembalakan juga turut menyumbang kepada penurunan populasi gajah di semenanjung Malaysia.

Tahukah anda, populasi gajah di Selangor sudah pupus, manakala populasi gajah di Negeri Sembilan dianggarkan kurang lima ekor sedangkan pada masa dulu kedua-dua negeri ini mempunyai populasi gajah yang banyak.

Bagi mendedahkan masyarakat dunia mengenai kepentingan pemuliharaan spesies gajah dan meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan ancaman yang dihadapi populasi gajah di seluruh dunia, Hari Gajah Sedunia diasaskan dan disambut pada 12 Ogos setiap tahun sejak 2012.


PENGUNJUNG melawat gajah di PKGK, Kuala Gandah, Pahang.

Sambutan Hari Gajah Sedunia itu adalah cetusan pembuat filem Kanada, Patricia Sims dan Yayasan Mengembalikan Gajah Thailand pada 2011 sebelum diiktiraf tahun berikutnya. Matlamatnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai dua jenis gajah Asia dan Afrika, di samping berkongsi pengetahuan serta penyelesaian untuk penjagaan dan pengurusan gajah liar.

Di peringkat antarabangsa, gajah Asia (Elephas maximus) disenaraikan dalam Apendiks 1 oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES). Ini bermakna hidupan liar ini tidak boleh diniagakan disebabkan populasinya diancam kepupusan.

Gajah juga turut dikategorikan sebagai hidupan liar yang terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Bagi Konservasi Alam Semula Jadi (IUCN). Komitmen negara terhadap pengukuhan perlindungan spesies ini dizahirkan dengan menaik taraf tahap status gajah sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Demi menjaga kelestarian populasi gajah liar dan kesejahteraan rakyat, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menerusi Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia melaksanakan pelan pengurusan jangka pendek dan jangka panjang selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2016-2025 bagi memastikan semua spesies hidupan liar diurus secara cekap dan berkesan.

Beberapa pelan tindakan diwujudkan sebagai garis panduan dalam pengurusan program konservasi gajah termasuk Pelan Pengurusan Gajah Semenanjung Malaysia (2006), Manual Tangkapan Gajah di Semenanjung Malaysia (2006), Pelan Tindakan Strategik Pengurusan Konflik Manusia-Gajah Semenanjung Malaysia (2007) dan Pelan Pengurusan Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu.

Pelan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) pula dibangunkan pada 2013 sebagai garis panduan pengurusan aktiviti konservasi gajah secara kerjasama antara Jabatan Perhilitan, agensi kerajaan lain di peringkat pusat dan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO). Pelaksanaannya merujuk kepada lima fokus utama iaitu perlindungan habitat, pengukuhan penguatkuasaan, pengurusan konflik, pemantauan berkesan dan penyelidikan.

Kerajaan juga melaksanakan aktiviti di bawah Pelan Induk Central Forest Spine (CFS) yang bertujuan mewujudkan kesinambungan habitat biodiversiti negara di empat kompleks hutan utama iaitu Banjaran Titiwangsa-Banjaran Bintang-Banjaran Nakawan; Taman Negara-Banjaran Timur; Pahang Tenggara, Chini dan Bera; serta Taman Negara Endau Rompin-Rezab Hidupan Liar Kluang.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, program perlindungan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhilitan berjaya menurunkan kerugian akibat konflik gajah dan manusia kepada 44 peratus dalam tempoh 2015 hingga 2018.

“Hasil penurunan kerugian ini membantu mengurangkan ancaman kepada gajah dan dapat menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi penduduk setempat.

“Selain itu, dua pusat pemuliharaan gajah ditubuhkan iaitu Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka di Terengganu dan Santuari Gajah Johor (JES) sebagai usaha meningkatkan kawasan perlindungan khusus untuk pemuliharaan gajah di negara ini. Satu lagi santuari gajah sedang dirancang di Aman Jaya, Perak,” katanya.

Santuari gajah baru di Perak itu akan dibina dengan kerjasama kerajaan negeri berkenaan menerusi pelaksanaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan dijangka menelan belanja kira-kira RM20 juta sebagai usaha berterusan memulihara haiwan itu yang semakin terancam di negara ini.

Mengikut perancangan, santuari baru itu akan menempatkan gajah yang berdepan konflik dengan manusia sebelum ditangkap dan dilepaskan di dalam hutan melalui santuari.

Dr Xavier berkata, pihak kementerian amat bernasib baik kerana menerima bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak lain termasuk swasta dalam pengurusan, penjagaan dan husbandri gajah seperti peruntukan sebanyak RM15.3 juta bagi tempoh RMK-10 bagi membina kemudahan meningkatkan keselesaan gajah dan persekitaran pekerjaan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Kuala Gandah, Pahang.

Kementerian turut menerima peruntukan sebanyak RM4.084 juta melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di bawah projek Malaysian Mega Biodiversity Hub (MMBH) bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur pelancongan.

Malah, pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) juga memperuntukkan RM3 juta bagi projek menaik taraf kawasan ekopelancongan dan kawasan tadahan air di PKGK.

Bantuan penajaan daripada Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) sebanyak RM55,000 di bawah projek tanggungjawab sosial korporat membabitkan sumbangan dua unit kaki palsu gajah istimewa bernama Elly, di samping tajaan ubatan dan peralatan bagi pengurusan anak gajah.

Tajaan turut diterima daripada Bursa Malaysia bernilai RM5,000 untuk peralatan pagar elektrik bagi pembinaan kawasan lepas bebas gajah di PKGK, manakala Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menaja RM8,000, Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM10,000 dan Ladang Sime Darby Mentakab sebanyak RM1,000 bagi program sambutan Hari Gajah Sedunia 2019 di PKGK.

Gajah dikatakan haiwan yang dekat dalam budaya masyarakat. Namun, tindakan segelintir daripada kita memperlakukan gajah tidak menunjukkan rasa hormat kepada hidupan liar itu. Sedangkan gajah adalah haiwan yang berperanan besar dalam menyeimbangkan ekosistem hutan sehingga manusia mendapat manfaatnya. Melindungi gajah sama saja dengan melindungi kehidupan kita sendiri. Namun pernahkah kita terfikir nasib gajah?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:10 AM