AHMAD Faedzal mahu ISN jana pendapatan sendiri.
Aniza Zainudin


SEBAIK dilantik sebagai nakhoda Institut Sukan Negara (ISN) sejak 25 Februari lalu, langkah Ahmad Faedzal Md Ramli terus memperkasakan bahagian pengkomersialan institut berkenaan.

Berkeyakinan tinggi terhadap potensi institusi berkenaan, lelaki berusia 41 tahun ini berkata, kelebihan ISN perlu dikenal pasti untuk menjana pendapatan sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN ini mengakui pengkomersialan boleh dilakukan daripada aspek perkhidmatan sedia ada dan ditukarkan kepada perniagaan demi masa depannya.

“Apabila kita berjaya mengetahui potensi ISN, kita boleh mencari pendapatan sendiri dan mengurangkan kebergantungan dana daripada kerajaan.

“Terbaru, menerusi pelancaran Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) kita menawarkan tujuh jenis perkhidmatan perubatan sukan utama bukan saja pada atlet, tetapi orang awam juga.

“Sebelum ini, kemudahan hanya dinikmati atlet bertaraf elit dan dibuka kepada masyarakat yang aktif dalam sukan ingin mendapatkan rawatan.

“Ia bertepatan dalam usaha kita membudayakan sukan dan aktiviti rekreasi dalam kalangan masyarakat.

“Kita menyenaraikan 15 kategori atlet dan 13 kategori awam yang berpeluang mendapatkan perkhidmatan dan rawatan di sini.

“Ini merangkumi atlet amatur, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), badan sukan lain, penggiat sukan negara dan orang awam yang mengalami kecederaan sukan membabitkan tulang dan otot,” katanya ketika ditemui di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.


BERSAMA isteri.

Katanya, ISN berhasrat menubuhkan hospital sukan antarabangsa di Malaysia dan dipercayai serta diiktiraf kredibilitinya.

Ujarnya, antara perancangan pengkomersialan ISN dijangka fokus pada penjenamaan Team MAS dan mendaftarkan status sebagai harta intelek.

Menerusi jenama berkenaan, pihak ISN merangka untuk mengeluarkan produk terbaru sekali gus menjana ekonomi sendiri.

Disifatkan ‘mentah’ untuk mengendalikan institusi berkenaan, Ahmad Faedzal yakin peluang diberikan platform terbaik menonjolkan bakatnya.

Sebagai orang muda, kepercayaan diperoleh membuatkan dia bersemangat untuk berjuang, tambahan pula lapangan sukan adalah bidang diminatinya.

Memiliki latar belakang kukuh dalam bidang sukan sama ada secara amali mahupun teori, beliau menyifatkan pendedahan diterima sewaktu belajar di Florida, Amerika Syarikat dalam bidang pengurusan sukan memberi inspirasi kepadanya.


TURUN padang bersama atlet.

“Ketika belajar di sana, sokongan pihak universiti terhadap perkembangan sukan sangat tinggi.

“Malah wujud badan tertentu yang menjalankan usaha kutipan dana semata-mata untuk menaja satu-satu sukan.

“Selain itu, kesamarataan gender dalam bidang sukan turut diwartakan dalam undang-undang negara termasuk geran sukan buat golongan wanita.

“Tambahan pula, atlet wanita di sana menjadi golongan penggiat sukan yang memberi sumbangan tertinggi bagi negara itu.

“Sebaik pulang, saya turut mempunyai visi untuk mengambil pendekatan sama dan mengubah landskap sukan negara ke peringkat lebih baik.

“Malah, saya juga berpendapat menerusi sukan jugalah usaha memperjuangkan kesamarataan gender dapat dijayakan.

“Saya juga tahu usaha ini agak sukar, namun ia perlu dimulakan,” jelas mantan Setiausaha Agung Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) itu.

Antara pencapaian menarik ingin dikongsikan bersama MAKSAK Malaysia adalah penganjuran Sukan Perkhidmatan Awam Asean buat julung kalinya sempena Malaysia menjadi Pengerusi Asean pada 2015.

Membawa lima sukan popular, beliau melihat penganjuran bertujuan mewujudkan integrasi sukan antara negara Asean.

Mencungkil latar belakang peribadi, anak kedua daripada empat beradik ini dilahirkan dalam keluarga yang menekankan aspek disiplin kerana bapa bertugas sebagai anggota polis.

Melihat kegigihan bapa sebagai ahli sukan badminton yang mewakili badan uniform berkenaan, menarik minat lelaki ini menceburi bidang sukan dari sekolah rendah hingga hari ini, terutama bola sepak.


BERSAMA keluarga ketika bercuti.

Pernah bermain dalam Liga Malaysia M4, Ahmad Faedzal berdepan dilema sama ada memilih bola sepak mahupun kerjaya sebelum menggabungkan sukan itu dalam ruang lingkup kerjayanya hari ini.

Menitipkan pesanan, beliau berkata pembabitan dalam kerjaya atau bidang yang diminati, pastinya memberi semangat kepada diri untuk melonjak kita melakukan yang terbaik.

PROFIL

NAMA: Ahmad~Faedzal Md Ramli

JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara

LAHIR: 16 November 1978

PASANGAN: Syaliani Husna Sulaiman

ANAK: Adriana Sofea (14), Aisyah Sofea (12), Adam Hariz (9) dan Akmal Hariz (5)

PENDIDIKAN: Sarjana Pengurusan Sukan, Florida State University (2011)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:20 AM