Tuan Asri Tuan Hussein

HARI ini negara tercinta kita Malaysia genap berumur 56 tahun dan kami di Harian Metro menumpang tuah tarikh keramat 16 September bagi menampilkan wajah baharu akhbar ini.

Lantas, kami ketengahkan #HMHM yang merujuk kepada Harian Metro Hari Malaysia sebagai satu elemen promosi. Malah, kami juga mengambil pendekatan yang boleh dianggap luar biasa apabila menukar masthead Harian Metro edisi hari ini kepada Harian Malaysia.

Ia pertama kali dilakukan dan untuk hari ini saja. Ia satu sejarah. Rugi jika tidak memiliki naskah Harian Metro hari ini kerana ini yang pertama dan mungkin juga yang terakhir. Anda tidak akan berpeluang menatap atau memiliki naskah serupa pada masa akan datang.

Ia bukan satu gimik promosi dan kami tidak melakukannya sekadar untuk suka-suka. Sebaliknya, ia didorong rasa tanggungjawab untuk mempertahankan dan memelihara keharmonian penduduk berbilang kaum di negara ini.

Sama ada anda sedari atau tidak, ketika pelbagai program disusun sempena Bulan Kemerdekaan 2019 bermula 31 Ogos lalu sehingga hari ini yang bertujuan menyatupadukan rakyat, ada pula pihak tidak bertanggungjawab yang menyusun agenda bertentangan.

Mesej, gambar dan video berunsur perkauman serta bernada hasutan bersilih ganti dilambakkan di media sosial, semata-mata untuk kepentingan kelompok tertentu yang sanggup ‘bermain api’ dengan memperjudikan keamanan negara.

Ia satu senario menakutkan dan setiap daripada kita wajib menghentikan dakyah ini dengan cara dan kemampuan masing-masing.

Kami di Harian Metro ada cara kami. Sebagai organisasi media yang mempunyai khalayak terbesar di Malaysia menerusi edisi cetak dan platform digital, kami tahu peranan serta tanggungjawab kami.

Segala bahan negatif yang tular di media sosial sama sekali tidak kami sebar luaskan, malah seboleh mungkin ia kami neutralkan dengan memaparkan fakta sebenar dan laporan lebih seimbang dengan penjelasan daripada pihak berkuasa.

Ya, ada ketikanya kami sedikit nakal dan agak vokal namun ia tetap kami salurkan di atas landasan yang betul. Yang pasti, bermain dengan sentimen perkauman sama sekali bukan amalan kami dan segala gerak laku kami sentiasa berpaksikan agenda mengukuhkan perpaduan nasional.

Justeru, sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini Harian Metro mengajak semua rakyat Malaysia agar menghargai nikmat keamanan dan jangan memperjudikan perpaduan kaum yang wujud di negara kita sejak sekian lama.

Daripada satu sudut pandang, Malaysia yang diterajui barisan kepemimpinan yang baharu mengambil alih kerajaan lebih setahun lalu ada satu persamaan dengan Harian Metro yang menyambut ulang tahun ke-28 pada 25 Mac lalu. Masing-masing sedang berdepan cabaran getir.

Cabaran di pihak kerajaan ialah terpaksa bekerja keras untuk membersihkan sistem pentadbiran kerajaan daripada penyelewengan dan salah guna kuasa supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil.

Cabaran bagi kami di Harian Metro pula ialah menangani serangan daripada ledakan teknologi digital yang semakin menyesakkan. Bukan saja kami, tapi semua media konvensional dan arus perdana turut berperang dengan ancaman sama.

Namun, itulah fitrah kehidupan. Cabaran sentiasa ada. Kita tidak boleh lari daripadanya, sebaliknya perlu menghadapi dan menguruskannya dengan kaedah yang betul.

Penambahbaikan Harian Metro yang kami paparkan bermula hari ini adalah sebahagian usaha untuk memastikan akhbar ini terus relevan dengan penyiaran berita kemasyarakatan, penyiasatan dan pembongkaran serta saluran suara rakyat kepada pemimpin dan sebaliknya.

Penambahbaikan itu membabitkan sedikit perubahan pada gaya reka letak supaya lebih segar dan sesuai dengan cita rasa terkini, selain pengenalan beberapa ruangan baru yang kontemporari.

Antaranya, ruangan lebih padat untuk berita hartanah melalui sisipan P & P (Pemaju dan Pemilik) mengandungi enam muka surat dan disiarkan pada setiap Jumaat.

Selain itu, sisipan untuk berita pendidikan yang sebelum ini dikenali sebagai Bestari diubah kepada Akademia. Ruangan khas untuk wanita pula yang sebelum ini dikenali sebagai Hati kami beri nafas baru dengan mengubahnya kepada WM (Wanita Metro).

Turut dimantapkan ialah ruangan berita semasa dengan segmen Metro Peduli, khusus sebagai wadah untuk mengetengahkan masalah dan isu rakyat serta ruangan Sempoi yang memaparkan berita bersifat human interest.

Terima kasih kepada semua pembaca yang sentiasa memberi sokongan kepada Harian Metro, sama ada di medium cetak, laman sesawang mahupun di platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.

Biarpun berdepan cabaran getir, semangat perjuangan warga Harian Metro tetap kental dan tidak luntur. Misi kami hanya satu iaitu untuk menyampaikan berita kepada masyarakat secara seimbang, tepat dan menyeluruh dengan acuan serta gaya tersendiri, bersesuaian dengan slogan kami Rasai Berita Sebenar.

Penulis Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 7:52 AM