BERSAMA Pasukan Tindakan Khas (PTK) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

USIANYA sudah mencecah 55 tahun namun Pegawai Waran I (PWI) Maritim Sabri Nordin masih kental dan terbabit dalam pelbagai operasi khas di laut.

Dia yang juga jurulatih bagi Pasukan Tindakan Khas (PTK) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut melahirkan lebih 200 komando termasuk Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sabri berkata, dia memulakan khidmat sebagai komando pada 1992 ketika bersama TLDM.


SABRI. FOTO Mohd Fadli Hamzah

“Pada 2005, saya ditawarkan ke APMM dan menjadi antara perintis penubuhan pasukan ini.

“Ketika itu hanya dua anggota termasuk saya menganggotai pasukan berkenaan sebelum diperluaskan sehingga kini,” katanya.

Mendedahkan rahsia berbadan tegap dan sasa walaupun sudah berusia, Sabri berkata, sejak mula berkhidmat, dia mengamalkan larian sejauh 10 kilometer pada setiap pagi.


PERNAH menjalani latihan bersama pasukan khas luar seperti Special Air Service (SAS) Australia, Sea Air Land (SEAL) Amerika Syarikat, pasukan khas Filipina dan Jepun. FOTO Mohd Fadli Hamzah

“Sehingga kini, sudah 28 tahun saya berbuat demikian. Kalau ikutkan, sudah dua kali pusing dunia dengan larian 10 kilometer setiap hari.

“Kini saya melatih anggota dan pegawai yang membuat permohonan untuk menyertai ke PTK. Penilaiannya sangat ketat, biasanya jika 10 yang membuat permohonan, hanya dua diterima,” katanya.


MEMBANTU anggota melakukan persiapan sebelum menjalani latihan taktikal. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Menurut anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu, sepanjang berkhidmat sebagai anggota komando, pelbagai cabaran dan operasi disertainya.

“Antara yang tidak boleh dilupakan ialah ketika menjalankan operasi di Terumbu Layang-Layang.

“Ketika itu, bot yang kami naiki dilanda ribut, keadaan gelap gelita di tengah laut, bot terapung selama empat jam. Saya dapat menenteramkan keadaan sebelum berjaya membawa semua anggota pulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 7:00 AM