NAIM Daniel. FOTO Aswadi Alias
Sudirman Mohd Tahir

ANUGERAH Juara Lagu ke-34 (AJL34) yang berlangsung Ahad lalu melabuhkan tirainya dengan penuh coretan warna-warni.

Adat pertandingan ada menang dan kalah. Kejayaan lagu Sumpah ciptaan Omak K dan penyanyinya, Naim Daniel menepati ramalan ramai pihak termasuk pengamal media.

Lebih manis, percubaan pertama Naim pada acara berprestij itu meninggalkan memori terindah dan memahat sejarah tersendiri buat diri dan kerjaya seninya.

Namun, belum puas Naim menikmati kejayaan diraih, momen itu dirampas dengan beberapa isu panas dan kontroversi yang timbul sepanjang acara itu berlangsung.

Paling mendapat perhatian adalah persembahan penyanyi, Aina Abdul menerusi lagu Sumpah yang dikatakan keterlaluan dan melanggar peraturan penyiaran secara langsung.

Visual yang dipaparkan apabila darah mengalir keluar dari tubuh Aina dianggap adegan bunuh diri yang mana ia tidak sesuai buat tontonan program yang dikasifikasikan sebagai Umum apatah lagi dipancarkan secara langsung di stesen TV nasional.

Menerusi Instagram, Aina sudah menjelaskan perkara itu. Malah, dia juga meminta maaf sekiranya gimik persembahannya itu menyinggung mana-mana pihak.

Sebagai ‘hukuman’ kepada Aina, video persembahannya ‘digantung’ daripada ditayangkan di saluran YouTube TV3 Malaysia Official.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan membuat semakan kod kandungan daripada Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) untuk memastikan sama ada persembahan itu bercanggah dengan penyiaran stesen televisyen (TV) sebelum mengambil tindakan.

Difahamkan, gimik berdarah itu diketahui pihak penerbitan namun tidak menjangka ia dipaparkan secara keterlaluan. Apatah lagi, pada sesi latihan ia tidak dipentaskan sehinggalah malam persembahan.

Dalam kes ini, sudah sampai waktu pihak penganjur mana-mana pertandingan secara langsung bersikap lebih tegas terhadap apa saja bentuk gimik yang ingin ditonjolkan.

AINA. FOTO Aswadi Alias

Tidak perlulah lagi bersikap terlalu berahsia dalam persembahan itu yang pada akhirnya hanya menjejaskan reputasi jika gimik terbabit mengundang kecaman dan melanggar tata cara penyiaran.

Idea dan kreativiti Aina wajar diberi pujian. Namun, apa jadi sekiranya persembahan itu didapati menyalahi kod penyiaran? Anda masih ingat dengan kes menimpa Faizal Tahir yang digantung kemunculannya di kaca TV ekoran membuka baju dengan sengaja pada program siaran langsung?

Jadi, kita tidak mahu nasib sama menimpa Aina kerana sayang dengan bakat besar dimiliki. Sepatutnya, pentas AJL adalah platform terbaik untuk lebih menyerlah dan dikenali. Tapi lain pula kisahnya.

Ketegasan penganjur dan stesen TV pada edisi akan datang perlu supaya insiden sama tidak berulang. Artis juga wajib memberikan kerjasama bagi kebaikan semua pihak. Takkan setiap tahun perlu menghadap isu sama atau lebih teruk lagi.

AJL adalah pertandingan yang dinantikan setiap tahun. Penonton mahu mendengar kehebatan setiap lagu yang bertanding. Jangan ganggu konsentrasi penonton dan pihak media dengan perkara yang tidak sepatutnya wujud di pentas. Cubalah menjadi insan kreatif yang lebih berilmu.

Sama juga dengan persembahan sarkastik Drama Band. Elemen perli beberapa watak yang tular di laman sosial dianggap keterlaluan. Tidak cukup perkara sama dipaparkan dalam video muzik Drama, dibawa pula ke pentas akhir.

DRAMA Band. FOTO Aswadi Alias

Akhirnya, video persembahan mereka pada AJL34 juga menerima nasib sama dengan lagu Sumpah. Sedangkan, jika Drama Band tampil dengan idea lain, pasti mereka berjaya merangkul Persembahan Terbaik.

Daripada apa yang terjadi, sebenarnya kasihan pada nasib Juara Lagu AJL34 iaitu Naim Danial kerana tidak diperkatakan. Begitu juga pemenang tempat kedua dan ketiga, terus senyap sepi.

Natijahnya, belajar daripada kesilapan dan jangan bodoh sombong untuk bertanya. Mana yang boleh dan tidak. Artis mungkin sekadar memberi idea, tapi pasukan yang ada perlu bijak memainkan peranan.

AJL34 penuh warna-warni, kisah kontroversi, pemenang akhirnya sepi.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 1:59 PM