IBRAHIM dan ayahnya Maher yang lumpuh ditembak Zionis.
IBRAHIM dan ayahnya Maher yang lumpuh ditembak Zionis.
Bersama Nadir Al-Nuri

MASIH ingat ketika mula-mula sampai ke Gaza pada 2013, keadaan di sini jauh lebih baik. Saya selalu diajak menjamu selera bersama rakan-rakan yang dikenali di rumah mereka, khususnya pada Jumaat yang menjadi hari perayaan kecil dan perkumpulan keluarga di Palestin.

Kemudian sedikit demi sedikit keadaan berubah. Aura ceria, berani mati dan hidup dengan apa yang ada yang dulunya menjadi identiti di Gaza khususnya semakin hilang.

Di mana-mana, kelihatan pemuda yang bermuka muram mencangkung di depan rumah tidak punya kerja. Kelihatan anak-anak yang tak semenggah untuk ke sekolah dengan pakaian lama dan lusuh. Malah, di hari raya, khususnya Aidiladha yang dikenali sebagai hari raya besar di sini suasananya kelam dan muram - tidak seperti dulu di mana pemandangan kambing disembelih di hadapan rumah penduduk adalah suatu kebiasaan kerana ramainya yang berkemampuan melaksanakan ibadah korban.

Saya teringat setahun dua lepas pemandangan yang cukup menyayat hati; seorang remaja duduk mencangkung di tepi jalan sambil bercakap di telefon dan menangis. Sipi-sipi saya mendengar perbualannya merayu pinjaman sebanyak RM50 daripada rakan semata-mata untuk membayar kos rawatan ibunya yang terlantar di hospital. Terkejut kerana jarang melihat generasi Palestin yang gagah berani menumpahkan air mata, saya mengeluarkan RM50 daripada poket dan diberikan kepadanya yang terpinga-pinga.

Itu belum lagi pemandangan peminta sedekah yang berkeliaran di seluruh bandar Gaza. Anak-anak sekecil usia dua, tiga tahun yang berkaki ayam, membelah kesejukan pagi untuk merayu meminta dibelikan roti dan makanan untuk keluarga di rumah adalah fenomena biasa. Mereka yang datang mengetuk pintu rumah meminta simpati tidak kenal siang dan malam, pagi atau petang sehinggakan sesekali rumah tangga kami porak-peranda kerana serabut dengan permintaan itu dan ini.

WALLAUPUN hanya satu kaki pemuda masih turut serta The Great Return March.
WALLAUPUN hanya satu kaki pemuda masih turut serta The Great Return March.

Tetapi, semua itu tidak dapat mengalahkan hitamnya masa depan yang terlihat Semenanjung Gaza ini sejak The Great Return March dilaksanakan pada 30 Mac 2018 yang lalu. Setelah hampir dua tahun penduduk Gaza khususnya pemuda turun dengan aman ke sempadan untuk berdemonstrasi menuntut hak mereka dikekang dan dihalang secara keras oleh penjajah Zionis yang menggunakan segala kekuatan tentera mereka, lebih 250 orang bergelar syahid dan hampir 20,000 cedera.

20,000 orang dalam masyarakat yang hanya dua juta penduduk bermakna dalam setiap 100 orang yang ditemui, seorang adalah mangsa peluru atau gas pemedih mata penjajah. Justeru, di setiap lorong dan jalan, di setiap kedai yang dimasuki, di setiap tempat mata dilontarkan, akan kelihatan pemuda atau anak yang berkaki satu, bergerak dengan kerusi roda, buta mata atau hanya tinggal sebelah tangan.

Ia pandangan yang sangat menyayat hati, tetapi tidak berakhir di situ. Siri ziarah yang kami laksanakan minggu lalu ke atas beberapa keluarga, membongkar kisah yang lebih dahsyat melibatkan pemuda bernama Maher Daud, yang sedang bertugas sebagai penjaga sempadan di atas pos kawalan setinggi 20 meter, ditembak Zionis dan jatuh rebah ke bumi. Takdirnya, usia beliau masih panjang, tetapi beliau kekal lumpuh seumur hidup dan selama dua tahun terlantar yang dapat digerakkan hanyalah dua biji mata.

Yang membuatkan air mata kami tumpah ialah apabila keluarganya memaklumkan bahawa anak beliau Ibrahim, setiap malam akan memeluk batang tubuh ayahnya yang kaku, menyapu air liur yang meleleh dari mulut dan tidur di sisi ayahnya.

Keadaan inilah yang mendesak kami bertindak dengan melaksanakan Projek Bantuan Perubatan Segera bagi memberikan sedikit harapan buat mereka. Kalau pun kaki mereka tidak dapat digantikan, mata mereka tidak lagi melihat dunia, paling kurang ketika sakit datang mencucuk akan ada ubat yang boleh ditelan hasil sumbangan kalian.

Apa kata kita sama-sama membantu mereka? Bukankah mereka juga layak hidup?



>>Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal yang menetap di Palestin dan pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia. Sumbangkan bantuan kepada Gaza melalui akaun Maybank rasmi NGO 5648 1050 7826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:01 AM