PERJUANGAN rakyat Palestin sentiasa dekat di hati masyarakat Malaysia.
PERJUANGAN rakyat Palestin sentiasa dekat di hati masyarakat Malaysia.
Mohd Firdaus Ibrahim

DUTA Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali  mendedahkan dana yang disumbang rakyat Malaysia melalui badan bukan kerajaan (NGO) tempatan tidak diterima Jabatan Wakaf Baitulmaqdis sejak dua tahun lalu.

Kenyataan itu dilihat jelas menimbulkan panik dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyalurkan sumbangan tetap menerusi potongan gaji mahupun secara one-off kepada NGO yang diamanahkan membantu rakyat Palestin.

Lebih parah, impak kenyataannya juga dilihat mencemarkan imej NGO tempatan yang bertungkus-lumus menggerakkan program kutipan dana daripada rakyat Malaysia.

Persoalan utama pendedahan Walid itu lebih menjurus ke arah mana wang puluhan juta ringgit setiap tahun yang dikumpulkan dari kantong rakyat Malaysia? Adakah ia diseleweng?

Penulis yang pernah menjejakkan kaki ke bumi Gaza, Palestin pada April 2013 terpanggil membuat pencerahan berhubung isu dibangkitkan Walid bagi memastikan imej Malaysia dan NGO yang didakwanya menyeleweng itu dapat dibersihkan.

Sebelum mengulas lanjut, penulis ingin terangkan bahawa Walid adalah wakil kerajaan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dikuasai pimpinan Fatah yang mentadbir kawasan Tebing Barat manakala Gaza pula ditadbir pimpinan Hamas.

Isu perpecahan antara Fatah dan Hamas sudah berlarutan sekian lama, malah ia masih ketara hingga kini walaupun PLO mendakwa mereka kembali disatukan selepas Ismail Haniyeh melepaskan jawatan Perdana Menteri di Gaza pada April 2014 selepas menyandang jawatan itu sejak 2006.

Adakah Walid yang juga wakil kerajaan Palestin langsung tidak sedar pembangunan semula masjid, hospital, kilang roti, sekolah, bantuan ubat-ubatan di Gaza manakala bantuan iftar, korban, pakaian musim sejuk dan dana di Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis?

Penulis kongsikan sedikit antara kejayaan besar pembangunan di Palestin hasil sumbangan rakyat Malaysia seperti Sekolah Tahfiz Malaysia (RM4.3 juta), Masjid Imam Syafie (RM12 juta), Masjid al-Qassam (RM4 juta) dan Pusat Rehabilitasi dan Kesihatan Mental (RM20 juta) serta bekalan ubatan (RM700,000).

Sementara itu, Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman, rakyat Malaysia di Gaza pula berkata, kegagalan Fatah menerangkan isu berbangkit dihadapi mereka di Tebing Barat mungkin menyebabkan NGO Malaysia lebih memberi tumpuan kepada Gaza.

Katanya, Hamas yang mentadbir Gaza berjaya bangkitkan isu dihadapi mereka sehingga mengundang bantuan negara luar termasuk Malaysia.

“Malah, dunia Islam lebih terkesan dengan perjuangan pimpinan rakyat Palestin di Gaza yang jelas ‘berperang’ dengan Israel sekali gus sumbangan terus disalurkan lebih banyak kepada mereka,” katanya.

Katanya, sepanjang pengalamannya bersama NGO tempatan di Malaysia mahupun Gaza jelas 97 peratus sumbangan rakyat Malaysia disalurkan ke Gaza berbanding Baitulmaqdis.

Penulis dimaklumkan ramai wakil dan ketua NGO lain di Malaysia tidak selesa bekerjasama dengan Fatah yang disifatkan mereka sebagai tidak mesra.

Walid wajar melihat isu dibangkitkan NGO Malaysia dari sudut positif sebelum mencari solusi demi pembebasan sepenuhnya Masjid al-Aqsa.

Penulis mencadangkan supaya Kedutaan Palestin di Malaysia mengumpulkan semua NGO yang aktif dalam membantu Palestin duduk semeja dan mencari situasi menang-menang bagi semua pihak. Biar lambat daripada langsung tiada langkah diambil.

Ingatlah kunci utama kita adalah pembebasan bumi al-Quds daripada rejim Zionis. Perpecahan antara Fatah dan Hamas, kerajaan Palestin serta NGO Malaysia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

Jom kita bersama-sama gagalkan Deal of the Century dirangka Israel dengan sokongan Amerika Syarikat.

>>Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 10:14 AM
Digital NSTP Subscribe