KUALA LUMPUR 21 November 2012. Masridzi Sat mengimamkan solat hajat untuk dipermudahkan segala urusan rumah KEWAJA, Gombak. NSTP/Rosela Ismail
KUALA LUMPUR 21 November 2012. Masridzi Sat mengimamkan solat hajat untuk dipermudahkan segala urusan rumah KEWAJA, Gombak. NSTP/Rosela Ismail
Syah Rul Aswari Abdullah


MINGGU lalu, dunia perfileman antarabangsa dikejutkan dengan filem Korea Selatan, Parasite yang dijulang sebagai Filem Terbaik Anugerah Academy ke-92. Ia melakar sejarah apabila menjadi filem pertama bukan dalam Bahasa Inggeris yang meraih pengiktirafan itu.

Malah, filem arahan Bong Joon-ho turut merangkul tiga lagu anugerah utama pada majlis berlangsung di Dolby Theattre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) - Lakon Layar Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Asing Terbaik.

Kemenangan Parasite sudah diramal oleh penggiat seni antarabangsa apabila meraih anugerah Palme d’Or di Festival Filem Cannes di Perancis. Ia antara pengiktirafan tertinggi dalam industri perfileman antarabangsa. Itu belum dikira dengan pelbagai pengiktirafan menerusi pelbagai festival filem antarabangsa.

Plot filem ini berkisar mengenai dua keluarga, masing-masing golongan kaya dan miskin. Tanpa pekerjaan tetap, keluarga miskin mengambil upah melipat kotak piza dan hanya tinggal di sebuah rumah semi-basement.

Kehidupan mereka berubah selepas anak lelakinya, Ki-woo diminta rakan menggantikannya menjadi tutor bahasa Inggeris kepada seorang anak perempuan daripada sebuah keluarga kaya iaitu keluarga Park. Apa yang berlaku seterusnya, boleh anda tonton filem ini sendiri!

Parasite yang berunsurkan satira mengangkat tema yang jarang diketengahkan dalam filem pecah panggung terbitan studio Hollywood ketika ini. Secara tersirat, ia mengajak penonton merenung mengenai inequality atau ketidaksamaan yang menjadi isu global.

Oxfam pertubuhan membasmi kemiskinan yang beribu pejabat di AS menyatakan golongan kaya meningkat pada 2019. Berdasarkan laporan didedahkan pertubuhan itu di Forum Ekonomi Dunia di Davos pada 20 Januari lalu, nilai kekayaan 2,153 billionaire dunia menyamai apa dimiliki lebih 60 peratus penduduk dunia!

Dalam pada itu, CNBC pula ketika memetik laporan Wealth-X melaporkan AS mempunyai kumpulan individu terbanyak yang mempunyai nilai kekayaan antara AS$5 juta (kira-kira RM20 juta) dan AS$30 juta (kira-kira RM124 juta). Ada 969,075 individu kaya di negara itu sekali gus merekodkan jurang kekayaan paling tinggi antara penduduknya.

China yang kini bergelut dengan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) pula di tangga kedua dengan individu terkaya iaitu 259,830 orang. Ia diikuti Jepun (186,250) dan Jerman (129,875).

Korea Selatan yang menjadi pembikin Parasite, berada di tangga kelima dengan jurang kekayaan yang tinggi dalam kalangan negara Organisasi Kerja Sama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Ia selepas Mexico, Chile, Turki dan AS. Satu tinjauan rambang menunjukkan golongan muda di negara itu berpendapat bahawa mereka tidak akan berpeluang memiliki kediaman sendiri.

Pakar berpendapat ketidaksamaan menyebabkan ketidakseimbangan pembangunan dalam masyarakat apabila golongan kaya menjadi semakin kaya dan golongan miskin menjadi semakin papa. Golongan kaya hidup selesa sedangkan golongan miskin terus merana.

Ia memberi kesan langsung kepada wanita dan kanak-kanak yang sepatutnya menerima manfaat daripada lonjakan ekonomi. Malah, sumbangan wanita sebagai tenaga kerja dibayar dengan gaji pada kadar yang tidak sewajarnya.

Satu kajian lain menunjukkan ketidaksamaan mempunyai kaitan dengan keganasan, penyalahgunaan dadah, obesiti, kehamilan dalam kalangan remaja dan masalah kesihatan mental. Secara kasarnya, miskin atau tidak seseorang banyak ditentukan oleh taraf hidup masyarakat di sesuatu negara.

Sebagai negara membangun, Malaysia tidak akan terkecuali menerima kesan daripada masalah ketidaksamaan ini. Pendekatan proaktif perlu direncana sebelum ia menjadi masalah yang menyebabkan pelbagai masalah yang boleh merencatkan perkembangan negara.

Jika tidak, peluang mana-mana individu miskin untuk berjaya dalam masyarakat hanya akan menjadi seperti angan-angan Ki-woo semata-mata!

>Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 7:01 AM