GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Syarifah Dayana Syed Bakri


KERAJAAN tanpa barisan Kabinet bukanlah perkara baru dan Malaysia bukan juga negara pertama yang berdepan situasi ini.

Jerman pernah berdepan situasi sama di mana mereka bergerak tanpa kerajaan selepas 90 hari pilihan raya berlangsung pada 2017.

Belanda pula bergerak tanpa kerajaan baharu selama 225 hari manakala, Belgium pula mencatatkan rekod tersendiri apabila tidak mempunyai kerajaan selama 589 hari.

Sepanyol turut berdepan situasi sama apabila bergerak selama 10 bulan tanpa kerajaan pada 2016.

Namun, rekod yang dipegang sehingga hari ini adalah Somalia kerana tidak mempunyai kerajaan rasmi selama 15 tahun.

Selepas kejatuhan kerajaan pimpinan Siad Barre, tiada kerajaan rasmi dilantik di sana. Walaupun kawasan bandar seperti Mogadishu mempunyai pasukan polis persendirian namun rakyat Somalia memilih untuk merujuk ketua suku bagi sebarang penyelesaian.

Ketika itu, Somalia dilihat ‘dikuasai’ tiga kumpulan berbeza - puak militia, kumpulan lanun dan pelampau Islam.

Ada yang berpandangan situasi lebih teruk mungkin berlaku di Malaysia.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, terdapat individu yang berkongsi mengenai ‘ketakutan’ pelajar antarabangsa di Malaysia mengenai situasi politik semasa negara kita.

Kata individu tersebut, adakah mereka perlu pulang ke negara masing-masing kerana bimbang berlaku kacau-bilau. Malah, katanya tidak langsung kelihatan pasukan tentera mengawal di sana sini.

Inilah keunikan negara kita. Walaupun kerajaan yang diberi mandat sebelum ini tumbang, namun rakyat masih meneruskan kehidupan seperti biasa.

Tidak ada ketakutan untuk keluar ke tempat kerja atau bimbang ditangkap pihak berkuasa jika keluar bersama keluarga.

Tiada juga perintah berkurung atau berlakunya pembelian panik akibat tidak ada barisan menteri kabinet.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, negara hanya dipimpin seorang individu sebagai perdana menteri interim. Hanya penjawat awam membantu pelaksanaan kerja pentadbiran negara.

Kita bernasib baik kerana dinaungi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memainkan peranan bersama Dr Mahathir untuk menyelesaikan kemelut ini.

Tindakan Baginda yang bermurah hati menyerahkan makanan tengah hari kepada rakan media di Istana Negara turut menjadi ikutan syarikat persendirian sehingga lokasi di pintu masuk Istana Negara tak ubah seperti ekspo makanan.

Dalam keseronokan kita melihat kemurahan hati rakyat Malaysia, kita juga turut sama berdebar menanti apa yang akan berlaku selepas ini.

Walau siapa yang dipilih kelak, kita rakyat Malaysia sudah menang. Menangnya kita kerana berpegang kepada Rukun Negara - Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Menangnya juga kita kerana terus berpaksi Kesopanan dan Kesusilaan.

Berbahagialah rakyat Malaysia dan peganglah ayat yang diulang 31 kali dalam surah Ar-Rahman, “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”


Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 6:01 AM
    Digital NSTP Subscribe