Nadir Al-Nuri

POLITIK adalah sebahagian daripada Islam kerana matlamat penciptaan manusia adalah sebagai khalifah di atas muka bumi. Khalifah inilah dengan asas dan panduan Islam sebagai agama rahmah, memimpin negara dan membimbing ummah. Sebab itu mengambil berat tentang isu politik, khususnya politik tanah air, adalah kewajipan. Jangan kerana tamak kuasa sesetengah pemimpin, kronisme dan nepotisme serta politiking berlebihan, kita menjadi culas dan meninggalkan peranan mengangkat kedaulatan Islam sebagai solusi yang membawa keamanan dan kemakmuran.

Dalam kemelut politik yang sedang berlaku di tanah air kita Malaysia yang dikasihi, saya membawa pembaca mengenali polemik lebih besar yang sedang melanda sebuah ‘negara kayangan’ bernama Israel. Semalam (2 Mac) negara haram ini berdepan pilihan raya ketiga dalam tempoh setahun apabila pilihan raya pertama pada April 2019 dan September tahun lalu gagal menatijahkan pembentukan kerajaan.

Ia adalah tanda perpecahan dalaman yang paling teruk dalam sejarah negara itu sejak diasaskan melalui penjajahan bumi Palestin 1948. Negara yang menghimpunkan pendatang dari seluruh dunia, semakin berkecai kerana tidak mampu mendokong aspirasi yang sama. Minggu ini, saya membawa kalian mengenali sedikit latar belakang politik dan pilihan raya di negara berkenaan kerana ‘tak kenal maka tak retilah nak berdepan’ mereka.

Pertamanya negara Israel ini mengangkat dirinya sebagai satu-satunya demokrasi di Timur Tengah. Pendirian ini palsu kerana tiga sebab utama; Israel tidak mempunyai perlembagaan sehingga hari ini, Israel tidak mempunyai sempadan negara yang jelas dan paling penting, sejak Julai 2019 Israel sudah meluluskan The Nation State Law yang menjadikan Israel sebuah negara rasis, dimiliki bangsa Yahudi dan menganak-tirikan penduduk yang lain.

Dalam pilihan raya pada 2019, sebanyak 29 parti bertanding, tetapi yang utama dan biasa memenangi kerusi hanyalah 8 parti. Parti-parti ini perlu mendapatkan sekurangnya 61 kerusi daripada 120 kerusi yang dipertandingkan dalam Knesset untuk memerintah. Dalam sejarah Israel, tidak pernah satu kali pun sebuah parti mendapat 61 kerusi, yang menyebabkan kerajaan perlu dibentuk dengan gabungan beberapa parti.

Dua parti terbesar yang bertanding ialah parti Likud, berhaluan kanan dan dipimpin PM Israel Benjamin Netanyahu. Mereka berdepan penentangan Parti Biru dan Putih atau Parti Kahol Lavan, pimpinan bekas Ketua Angkatan Tentera iaitu Benny Gantz. Kedua-dua parti dijangka mendapat sekitar 30 kerusi.

Gabungan terpaksa dibuat dengan beberapa parti lain untuk menjadi kerajaan sama ada dengan Parti Gabungan Arab yang mewakili penduduk Arab Israel (dijangka memenangi 13 kerusi), Parti Buruh – Gesher – Meretz yang dianggap berhaluan kanan (9 kerusi), Parti Yisrael Beiteinu yang mendokong aspirasi penduduk asal Russia (7 kerusi), atau parti kecil lain yang mendokong golongan agama seperti Parti Yamina, Torah Judaism Bersatu atau Shas.

Pilihan raya ini juga akan berlaku dalam keadaan Israel berdepan 3 isu utama – tuduhan rasuah dan salah guna kuasa ke atas Benjamin Netanyahu, pengumuman The Deal of The Century oleh Trump dan perpecahan semakin ketara di antara golongan agamawan dan sekular di dalam masyarakat.

Mengikut pandangan pakar hal ehwal Israel di Palestin, Dr Soleh An-Na’ami, pertembungan ideologi dalam menangani isu Gaza sebagai halangan terakhir Deal of The Century, pandangan terhadap pengiktirafan negara Palestin, undang-undang ke atas golongan agama yang mahukan layanan khusus dan kelayakan Netanyahu untuk terus memerintah, memungkinkan dua senario paling abash berlaku ialah pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan kedua Parti Likud dan Kahol Lavan atau deadlock yang akan menatijahkan pilihan raya keempat.

Penting untuk diperhatikan, semua parti yang bertanding kecuali Parti Arab, bersatu dalam mendokong dua perkara besar yang akan meneruskan kesinambungan kekalnya negara haram ini – penghapusan bahaya daripada utara iaitu Lubnan dan Syria dan pelaksanaan Deal of The Century yang akan menjamin ‘hak’ mereka sebagai penjajah. Seteruk-teruk Zionis, mereka masih boleh bersatu dalam membela kepentingan negara dan bangsa.

>>Penulis ialah pengasas dan CEO Persatuan Cinta Gaza Malaysia. Beliau menetap di Gaza sebagai rakyat Malaysia tunggal sejak 2013. Sumbangkan kepada Gaza melalui akaun rasmi NGO Cinta Gaza, Maybank 5648 1050 7826

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 9:23 AM
Digital NSTP Subscribe