TAN Sri Muhyiddin Yassin berucap ketika menyampaikan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2019 kepada pelajar cemerlang di sekolah tersebut. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
TAN Sri Muhyiddin Yassin berucap ketika menyampaikan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2019 kepada pelajar cemerlang di sekolah tersebut. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Mohd Zaini Othman

Pada Ahad lalu semua perhatian rakyat Malaysia dihalakan sepenuhnya ke Istana Negara kerana kurang dua tahun selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh dalam era Malaysia Baharu, kini rakyat memiliki Perdana Menteri kelapan pula.

Di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Pelantikan Muhyiddin yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Perdana Menteri sekali gus menamatkan krisis politik negara selepas tumbangnya Pakatan Harapan yang menerajui negara selama 22 bulan. Kekecewaan rakyat tidak dapat disembunyikan kerana kemelut politik negara ini berlaku ketika negara sedang berhadapan dengan isu kemelesetan ekonomi, kos sara hidup dan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam negara.

Ketika krisis politik ini melanda negara, penulis merasakan ‘jalan ceritanya’ lebih mendebarkan, menarik dan ‘menyesakkan dada’ rakyat Malaysia berbanding ketika jatuhnya Kerajaan Barisan Nasional pada PRU14 yang menyaksikan transisi pemerintahan negara kepada gagasan pembangkang buat kali pertama sejak 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Sepanjang kemelut ini pelbagai elemen kejutan, spekulasi, telahan dan teori konspirasi menjadi bualan di mana-mana, lebih tegang pastinya perdebatan warganet di alam maya. Tetapi itu semua bolehlah diletakkan ke tepi kerana Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan teliti oleh baginda sebelum bertitah melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Baginda turut bertitah bahawa ini adalah keputusan yang terbaik untuk semua dan menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir.

Walaupun pelantikan Perdana Menteri sudah terzahir dan Muhyiddin juga secara rasmi memulakan tugas hari pertama
di Bangunan Perdana Putra sejak Isnin lalu, nada-nada mereka yang tidak bersetuju dengan pelantikan ini masih tetap berbunyi hingga ke hari ini. Bagi sesetengah pihak yang terus ingin mengheret institusi Diraja
ke dalam permainan politik mereka kerana keputusan yang dibuat tidak selari dengan apa yang direncanakan atau diharapkan, penulis merasakan ini adalah tindakan yang tidak wajar sama sekali dan perlu dihentikan.

Sesuatu yang menarik dan mendapat perhatian masyarakat luar ialah apabila negara diuji dengan kemelut politik sebegini, kematangan rakyat Malaysia mendepaninya wajar diberi pujian kerana berjaya mengekalkan keamanan negara tanpa mengadakan protes dan mogok besar-besar dijalanan, tiada juga yang bertindak memusnahkan harta benda, pergaduhan dan seumpamanya. Hampir seminggu kemelut ini berlangsung, rakyat kekal tenang meneruskan rutin biasa mereka, urusan perkhidmatan awam berjalan dan pentadbiran negara juga tidak tergendala.

Sikap terpuji ini turut diakui Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana bersabar dan bertindak waras ketika menghadapi situasi ketidaktentuan politik. Sikap seperti inilah yang diperlukan untuk memastikan keamanan dan keselamatan negara dapat terus dikekalkan kerana bagi penulis, kemelut yang berlaku ini dicetuskan sendiri oleh ahli politik, justeru, rakyat tidak perlu diheret bersama dalam situasi ketidaktentuan politik tersebut kerana bukan mereka yang mencetuskannya.

Pada waktu ini, peluang dan sokongan padu patut kita berikan kepada Muhyiddin untuk mengemudi negara berdasarkan pengalaman lebih 40 tahun yang ditimba beliau sekian lama dalam arena politik dan kerajaan untuk mengemudi tanah air tercinta ini ke arah kegemilangan. Semasa menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri, perkara pertama yang beliau janjikan adalah untuk melantik anggota Jemaah Menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

Penulis meyakini apabila barisan jemaah menteri diumumkan secara rasmi kelak menepati ‘selera’ rakyat dan juga dapat membuktikan kredibiliti dan kemampuan menggalas peranan dan mengemudi kementerian yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang, pastinya sokongan kepada kerajaan baharu ini akan bertambah kuat dan utuh. Perasaan gusar yang bersarang dihati rakyat akan berlalu pergi, yang menjauh hati akan mula mendekati, dan yang membenci makin mula menyukai.

Segunung harapan kini diletakkan pada Muhyiddin untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat kerana pada akhirnya nanti rakyat jua yang akan ‘menilai’ melalui peti undi. Bersatu teguh, bercerai roboh. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

>>Penulis Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:01 AM
Digital NSTP Subscribe