RYAN KAJI
RYAN KAJI
Syah Rul Aswari Abdullah


MAJALAH Forbes akhir tahun lalu menyenaraikan personaliti YouTube atau YouTuber dengan pendapatan tertinggi.

Menepati ramalan, Ryan Kaji, kanak-kanak yang hanya berusia lapan tahun dari Amerika Syarikat di sebalik saluran Ryan’s World di tangga pertama. Ia meraih pendapatan AS$26 juta (kira-kira RM108 juta) pada tahun lalu.

Bagi kebanyakan orang, amat murah untuk saluran ini membuat duit. Kaji hanya perlu melakukan unboxing (membuka kotak) dan mencuba alat permainan untuk kanak-kanak. Bintang YouTube ini kali pertama tampil menerusi saluran pertamanya Ryan ToysReview pada 2015. Kini, ia berkembang kepada kandungan video pendidikan termasuk eksperimen sains untuk kanak-kanak.

Kaji yang kini tinggal di Texas, Amerika Syarikat mempunyai hampir 23 juta pengikut di platform YouTube. Keluarganya kemudian memanfaatkan populariti jenama saluran berkenaan untuk tampil dengan jenama pakaian dan alat permainan. Bukan itu saja, jenama ini bekerjasama dengan perkhidmatan streaming Hulu.

Di tangga kedua adalah Dude Perfect. Baru saja berusia hampir sedekad, ia menunjukkan video lima sekawan berusia 30-an yang cuba membuat pelbagai aksi bagi memecahkan rekod Guinness World Records. Ia memberi mereka pendapatan kira-kira AS$20 juta (RM83 juta).

Saluran ketiga dengan pendapatan tertinggi adalah pendatang baharu memaparkan Anastasia Radzinskaya, 5. Ia popular selepas ibu bapanya memuat naik video mengenai interaksi dan rawatan kepada kanak-kanak Cerebral Palsy itu. Ia sudah meraih 107 juta pengikut menerusi tujuh saluran YouTube dan diterjemah ke pelbagai bahasa.

Tiga contoh ini sahaja sudah cukup membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk menjadi YouTuber. Apa tidaknya, ia tidak memerlukan modal yang besar. Sesiapa saja dengan telefon bimbit dan akses Internet sudah mampu memuat naik video ke Internet.

DUDE PERFECT
DUDE PERFECT

Sedar atau tidak, fenomena ini memberi kesan langsung kepada kanak-kanak. Apatah lagi, gaya hidup moden menyebabkan ramai ibu bapa memilih untuk memberi anak yang masih belum bersekolah untuk menonton YouTube di telefon bimbit mereka. Ia dilihat sebagai cara mudah untuk mengawal anak kecil terutama apabila keluarga berada di tempat awam.

Natijahnya anak kecil ini membina harapan bahawa mereka juga boleh menjadi bintang YouTube. Biarpun mungkin tidak sekaya Kaji, semuanya mahu dilakukan demi mengecap populariti segera dalam kalangan usia sebaya.

Maka, tidak hairanlah satu kaji selidik oleh Harris Poll untuk Lego pada tahun lalu mendapati bahawa kanak-kanak di Amerika Syarikat dan United Kingdom mahu menjadi YouTuber, lebih tiga kali ganda berbanding menjadi angkasawan. Kaji selidik terhadap 3,000 kanak-kanak berusia antara lapan dan 12 tahun itu menyediakan mereka pilihan jawapan sama ada untuk menjadi angkasawan, ahli muzik, atlet profesional, guru dan vlogger atau YouTuber.

Ia sedikit sebanyak menunjukkan kesan pendedahan YouTube pada usia awal kanak-kanak mencorakkan minat mereka apabila meningkat usia. Bagi mereka, amat mudah untuk bergelar YouTuber. Seseorang tidak perlukan ijazah, wang atau populariti untuk memulakan saluranYouTube.

Jadi, adakah bergelar YouTuber adalah sesuatu yang buruk? Dari satu segi, ia tiada beza dengan mereka yang sejak kecil bercita-cita untuk menjadi atlet, penyanyi atau pelakon. Semua orang boleh bermain bola sepak, menyanyi dan berlakon dan memuat naik video mereka melakukan semua perkara itu di Internet.

Apapun, kanak-kanak ini harus diberitahu bahawa untuk berjaya dalam apa juga bidang, seseorang itu perlu bekerja keras. Mereka juga perlu sedar bahawa realitinya, kerjaya dalam talian (online) seperti YouTuber ada pasang dan surutnya. Pada masa sama, tiada siapa yang boleh memastikan apa yang trending hari ini, masih mahu ditonton pada minggu depan.


>>Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 6:00 AM
Digital NSTP Subscribe