Ahmad Saufi Mansor

TERLERAI sudah segala persoalan yang ditunggu-tunggu sejak dua minggu lalu apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan Kabinet pentadbirannya, semalam.

Pembentukan Jemaah Menteri kerajaan Malaysia ini dibuat berasaskan perbincangan dengan pimpinan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Berpegang kepada citra baharu Kabinet, memenuhi aspirasi rakyat, kerajaan baharu di bawah pimpinan Muhyiddin dibarisi 31 menteri.

Maka tahun 2020 ini terlakar episod baharu dalam sejarah politik Malaysia apabila pembentukan Kabinet kerajaan tanpa jawatan Timbalan Perdana Menteri, ketika ini.

Sebaliknya, Muhyiddin mewujudkan empat jawatan menteri kanan yang akan membantu beliau sebagai barisan Kabinet yang berfungsi serta dapat menyampaikan perkhidmatan lebih berfokus.

Keempat-empat individu ini akan menyelaras hal ehwal pentadbiran negara berkaitan bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

Barisan Jemaah Menteri juga menampilkan ahli politik berpengalaman serta muka baharu termasuk teknokrat dan agamawan yang melepasi tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun Polis Diraja Malaysia (SPRM).

Keadaan itu secara tidak langsung demi memastikan Kabinet yang dibentuk adalah berintegriti.

Perdana Menteri juga mahu memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan lebih berfokus dan berkesan, cekap, peduli rakyat, telus dan berintegriti dengan struktur lebih mantap.

Pada masa sama, kerajaan pimpinan beliau juga serius dalam menangani isu pembangunan serta kemajuan sosio-ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak.

Berasaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ia akan diterjemah dalam bentuk dasar dan program kepada penduduk negeri terbabit menerusi kewujudan portfolio khusus dalam Kabinetnya.

Penganalisis politik Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, Muhyiddin dilihat menunaikan janji apabila menyenaraikan barisan Kabinet yang memiliki ciri-ciri berintegriti, berkelayakan dan berkemahiran.

Menurutnya, takrifan individu berintegriti itu merujuk kepada mereka yang mempunyai imej bersih daripada sebarang kes selepas disaring SPRM dan PDRM terlebih dahulu.

Katanya, selain itu Kabinet pimpinan Muhyiddin dipilih dalam kalangan mereka mempunyai kelayakan dan kemahiran.

“Barisan jemaah menteri kali ini juga membariskan muka baharu termasuk golongan teknokrat dan agamawan selain ahli politik yang berpengalaman luas.

“Sebagai contoh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Begitu juga Kementerian Kewangan bakal diterajui Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB yang memiliki pengalaman luas,” katanya.

Pensyarah Politik dan Kerajaan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menyifatkan kriteria pengalaman yang dimiliki barisan Kabinet baharu berkenaan juga menyakinkan.

Menurutnya, Muhyiddin juga membariskan pemimpin daripada Umno yang pernah memegang portfolio kementerian tertentu ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Manakala pembahagian dari segi kaum pula menunjukkan Kabinet adalah terdiri kaum Melayu, Bumiputera Sarawak dan Sabah, selain Cina serta India.

“Kini rakyat meletakkan harapan tinggi kepada Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya untuk membina keyakinan baharu bagi mendepani cabaran mendatang,” katanya.

Pastinya, kerajaan kini berdepan dengan situasi ekonomi mencabar apabila harga minyak dunia merosot sekali gus perlu menyusun strategi untuk mengembalikan ekonomi selain mendepani isu Covid-19.

Akhir kalam, selamat bertugas buat mereka yang dilantik dan semoga dapat menjalankan tugas dengan cemerlang serta beramanah untuk rakyat negara ini.

>>Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 8:43 AM
Digital NSTP Subscribe