ALIFF Syukri (kiri), Safawi dan Syifa. FOTO NSTP
ALIFF Syukri (kiri), Safawi dan Syifa. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

SATU persatu cerita hangat dan sensasi berlaku dalam industri hiburan tempatan yang menarik perhatian ramai untuk mengikutinya.

Paling mencuri tumpuan ramai sudah tentu isu berkaitan kontroversi membabitkan individu bergelar Datuk Seri yang dikatakan mendera anak tirinya.

Apabila berita ini tersebar di laman sosial, ramailah pihak yang berteka-teki siapakah gerangan individu yang dimaksudkan. Masing-masing mahu menjadi penyiasat persendirian dan orang pertama menemui jawapan.

Dalam hal begini, kebanyakan pemilik akaun di laman sosial Facebook ternyata lebih ‘brutal’ dalam menyebar serta memanaskan isu ini pada kalangan warganet.

Berbanding pengamal media cetak yang bertindak menjaga nama baik individu berkenaan selagi belum dibuktikan bersalah. Manakala, pemilik akaun Facebook pula secara terang-terangan menyebut nama individu itu berserta video yang didakwa sebagai bahan bukti kejadian.

Ia akhirnya memaksa usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri tampil ke hadapan mengaku dirinya adalah individu yang dimaksudkan dan memohon maaf secara terbuka di Instagram Stories, beberapa hari lalu.

Apalagi, kenyataan ini ibarat bola tanggung yang ditunggu-tunggu sehingga dia terus dihujani kecaman daripada pelbagai pihak.

Tak terkecuali ada juga yang beranggapan ini adalah karma yang patut diterima Aliff kerana bertanggungjawab mencetuskan perang dalam keluarga Allahyarham Abam Bocey baru-baru ini.

Apapun diingatkan semua pihak supaya jangan mudah melatah kerana kes masih dalam siasatan polis. Justeru, masih terlalu awal serta tidak wajar untuk kita menghukum Aliff.

Agak reda isu ini, timbul pula cerita hangat membabitkan konflik prestasi semasa pemain bola sepak negara dan Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid.

Ia kecoh diperkatakan apabila Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT mendedahkan desakan berkahwin daripada kekasih Safawi iaitu pelakon Syifa Melvin menjadi punca kemerosotan pemainnya.

Sebagai majikan, sudah tentulah Tunku Ismail berhak untuk masuk campur dalam masalah pemain yang pernah memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu.

Bermulalah episod ‘jawab menjawab’ dalam perkara ini yang membabitkan Syifa dan Safawi.

Di sini Syifa dilihat lebih berdiplomasi apabila cuba mempertahankan kekasihnya daripada kecaman.

Kalangan warganet pula berpecah kepada dua kumpulan iaitu yang menyokong Syifa dan satu lagi Safawi.

Konflik bertambah rumit apabila ibu bapa Safawi sendiri mengakui ada menasihatkan anak mereka supaya fokus pada karier terlebih dahulu dan masih terlalu muda untuk berkahwin.

Tekanan dan kejian daripada ‘tentera bawang’ dialami oleh Syifa, manakala setiap perlakuannya menjadi perhatian termasuk dikatakan menghina penghuni setinggan dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Akhirnya dia tampil dengan kenyataan meminta maaf dan menyifatkan berlaku salah faham berdasarkan video yang sengaja ditularkan.

Dalam pada itu, kemelut politik tanah air yang bermula sejak 23 Februari lalu berakhir kelmarin apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan Kabinet kelmarin.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menggantikan Gobind Singh Deo.

Sudah pasti kehadiran menteri baharu akan menyaksikan perubahan dasar dan polisi.

Paling menjadi persoalan ialah nasib Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 18 April ini di Melaka.

Menjawab persoalan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri tidak menolak akan berlaku perubahan dalam penganjurannya.

“Finas mungkin akan membuat pengumuman rasmi berkenaan perkara ini nanti.

“Buat masa ini kami belum boleh keluarkan sebarang kenyataan kerana dalam peringkat akhir persiapan untuk FFM31,” katanya.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 7:50 AM