Datuk Seri Akhbar Satar

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan penahanan sembilan anggota Unit Gempur Marin (Ungerin) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang kerana meminta wang rasuah untuk melepaskan rampasan rokok murah dan arak yang berjumlah RM4.868 juta.

Kejadian sebegini menunjukkan bahawa masalah integriti ini bukan saja terjadi pada penjenayah, tetapi juga dilakukan oleh sebahagian penguat kuasa itu sendiri.

Menurut laporan Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia beberapa tahun yang lalu, 80% daripada anggota pihak berkuasa di sempadan terlibat dengan rasuah. Jika benar, ini adalah satu perkara yang amat membimbangkan bagi imej dan keselamatan negara.

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana anggota agensi penguat kuasa hendaklah mengelak daripada melakukan rasuah dan kekalkan integriti serta amanah dalam menjalankan tugas keselamatan.

Untuk membanteras kegiatan rasuah dan penyeludupan rokok murah dengan lebih berkesan, kerajaan haruslah berada ‘dua langkah’ di hadapan sindiket yang licik dan mempunyai sumber kewangan dan kelengkapan yang canggih untuk mengatasi agensi penguat kuasa.

Terutama sekali, pihak kerajaan perlu menggunakan dan menyediakan skanner terkini dan bermutu tinggi di pelabuhan dan sempadan. Skanner sedia ada sudah usang dan ada juga tidak berfungsi lagi. Seterusnya, pegawai yang berintegriti saja ditugaskan untuk mengawal dan mengawasi operasi skanner tersebut. Apa saja sistem dan teknologi yang terkini digunakan tidak efektif jika pengendalinya tidak mempunyai integriti. Kegiatan rasuah tetap akan berlaku buat selama lamanya.

Egensi penguat kuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) hendaklah mengawasi pegawai dari semasa ke semasa. Beri perhatian pada red flag dari segi prestasi, sikap dan tingkah laku terutama individu yang bertanggungjawab menyiasat sindiket rokok seludup dan lain-lain. Negara kerugian RM5 bilion hingga RM7 bilion setahun disebabkan oleh kegiatan penyeludupan rokok. Ketirisan sejumlah wang yang banyak ini boleh digunakan untuk pembangunan atau diberikan pada rakyat.

Untuk meningkatkan keberkesanan pihak penguat kuasa menangani isu rokok murah, satu pasukan khas perlu diwujudkan segera. Task force ini harus dianggotai oleh pegawai mantap daripada agensi penguat kuasa seperti PDRM dan KDRM dan juga SPRM. Pasukan khas ini hendaklah melakukan operasi berterusan supaya sindiket besar boleh ditumpaskan.

Misi utama task force bertujuan menghalang sindiket dalam dan luar negara yang terbesar daripada beroperasi dan menangkap individu yang dikenal pasti ‘ikan besar’ termasuk dalam menyalur kewangan dalam kegiatan penyeludupan ini.

>>Penulis Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 8:22 AM
Digital NSTP Subscribe