GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syarifah Dayana Syed Bakri


WABAK koronavirus baharu atau Covid-19 yang bermula sejak akhir tahun lalu masih belum menunjukkan sebarang tanda untuk berakhir.

Bagi mengekang wabak ini daripada terus merebak, beberapa negara mengenakan sekatan perjalanan masuk dan keluar ke negara masing-masing.

Menyekat perjalanan untuk mengekang wabak mungkin bunyinya sedikit mudah namun ada tugas lebih sukar menanti kakitangan kesihatan dan orang awam di seluruh dunia iaitu menangkis mitos dan petua merapu yang disebarkan melalui laman media sosial.

Ini kerana sejak wabak ini mula menjangkiti individu di luar China, penduduk dunia mula panik dan bimbang risiko terdedah kepada virus berkenaan dan bermulalah episod perkongsian pelbagai petua dan tip kesihatan bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.

BBC melaporkan, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) terpaksa ‘bekerja lebih masa’ menangkis maklumat kurang tepat mengenai Covid-19 terutama apabila membabitkan petua dan teknik ‘membunuh’ virus.

Paling popular dalam kalangan orang awam adalah pengambilan bawang putih yang dikatakan mampu menghapuskan virus penyebab Covid-19.

Menurut WHO, walaupun bawang putih disifatkan sebagai makanan sihat kerana mempunyai elemen antimikrob namun ia bukan senjata utama untuk membunuh virus.

Disebabkan petua ini, seorang wanita di China dilaporkan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit tekak yang teruk akibat mengambil 1.5 kilogram bawang putih.

Selain itu, terdapat juga tip yang dikatakan hasil perkongsian seorang doktor Jepun menyarankan minum air setiap 15 minit untuk menghapuskan virus yang masuk ke dalam mulut.

Malah, versi sama dalam Bahasa Arab sudah dikongsi sebanyak 250,000 kali!

Profesor Trudie Lang dari Universiti Oxford berkata, tiada mekanisme biologi untuk menyokong kenyataan berkenaan.

“Jangkitan seperti koronavirus memasuki badan melalui saluran pernafasan dan tidak mungkin dengan minum air saja boleh menghalang individu dijangkiti virus berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pengambilan air untuk kekal hidrat adalah nasihat yang bagus namun bukan untuk membunuh virus.

Terdapat juga nasihat perubatan palsu yang menggunakan nama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) yang kononnya menyarankan orang ramai minum air panas, mandi menggunakan air panas serta menggunakan pengering rambut kerana suhu yang tinggi boleh membunuh virus Covid-19.

Malah, ia juga menyatakan orang ramai perlu mengelak pengambilan ais krim kerana virus gemarkan ‘tempat sejuk’.

Nasihat ini mungkin tidak begitu ekstrem jika dibandingkan apa yang berlaku di Iran.

Iran antara negara terjejas teruk akibat Covid-19 dan setakat artikel ini ditulis, 429 nyawa terkorban dengan jumlah keseluruhan melebihi 10,000 jangkitan.

Mungkin panik dengan keadaan yang berlaku, warga Iran mula mencari jalan untuk melindungi diri daripada wabak ini.

Media Iran melaporkan, sekurang-kurangnya 44 individu maut akibat keracunan alkohol dan ratusan lagi dimasukkan ke hospital akibat terpedaya dakyah bahawa alkohol boleh merawat dan mencegah Covid-19.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Iran, Ali Ehsanpour, orang awam dipercayai minum alkohol yang mengandungi ethanol toksik yang diubah warnanya menggunakan peluntur.

Berdasarkan laporan agensi berita IRNA, di Khuzestan lebih banyak individu maut akibat keracunan alkohol berbanding Covid-19.

Lain pula kisahnya di Malaysia apabila ada maklumat disebarkan mengenai menu tempatan dipanggil singgang dikatakan mampu merawat Covid-19.

Orang awam mula berkongsi petua berkenaan namun tidak kurang juga kelompok kakitangan kesihatan yang melompat dan menuduh media menyebarkan maklumat palsu.

Kisah singgang ini bermula apabila Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Azizah Mahmood yang mendedahkan bahawa berdasarkan banyak kajian dijalankan ke atas bahan-bahan yang ada dalam menu tradisional itu, ia berkemungkinan berpotensi untuk merawat.

“Lengkuas, kunyit, halia dan bawang putih dalam menu ikan singgang mampu memusnahkan mikrob dan ia diakui melalui kajian yang dijalankan oleh banyak pihak sebelum ini,” katanya dalam artikel yang disiarkan Harian Metro pada 7 Mac lalu.

Namun, katanya, pihaknya tidak dapat mengesahkan ikan singgang mujarab untuk merawat Covid-19 sehingga kajian klinikal ke atas manusia dijalankan secara menyeluruh dan data dikumpul secara sistematik.

“Bukan senang sebenarnya untuk mengesahkan menu ikan singgang itu mujarab kerana hanya melalui kajian tertentu saja dapat mengesahkannya.

“Oleh itu saya harap orang ramai jangan keliru dengan kenyataan saya itu kerana ujian klinikal tidak pernah dijalankan ke atas menu ikan singgang dan Covid-19,” katanya.

Kita di Malaysia bernasib baik kerana masih boleh mendapatkan maklumat sebenar walaupun ada masanya ada pihak tidak senang mendengar rakan wartawan bertanyakan ‘soalan remeh dan bodoh’ dalam sidang media.

Soalan dianggap remeh itulah nanti akan menghentikan segala penyebaran maklumat palsu dan masyarakat kita lebih terdidik.

Izinkan kami wartawan Malaysia terus bertanyakan soalan ‘remeh’ kerana jika tidak daun nipah akan terus disangka daun labu.

>>Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 11:32 AM