GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Rozaimy Ridzuan

SESEBUAH negara dikatakan kuat dan memiliki kelebihan sekiranya jumlah penduduknya adalah ramai. Namun, perkara ini hanya benar-benar berlaku sekiranya kerajaan di sesebuah negara tersebut bijak mengeksploitasikan rakyatnya dengan cara yang betul dan sah.

Lihat saja negara China di mana penduduknya melebihi 1.4 bilion, lantas memiliki saiz pasaran yang begitu besar dan mampu mengeluarkan hasil barangan yang secara relatifnya murah.

Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memperkenalkan Dasar Kependudukan Negara pada pertengahan 1980-an dengan harapan Malaysia mencapai 70 juta penduduk pada tahun 2100.

Dasar yang digubal ini diharapkan akan melahirkan penduduk yang bukan saja besar dari segi saiznya, malah penduduk yang memiliki sifat rajin, produktif dan berintegriti.

Bukan saja di Malaysia, malah negara seperti Jepun, Sepanyol, Jerman dan Norway juga menggalakkan penduduknya untuk menambahkan bilangan ahli keluarga di mana kerajaan mereka memberikan pelbagai bentuk insentif.

Di Jepun, salah satu faktor menyumbang kepada kepesatan pertumbuhan ekonominya adalah disebabkan oleh peningkatan jumlah kelahiran selepas perang, iaitu daripada 72 juta orang pada tahun 1945 kepada 117 juta pada tahun 1980.

Di sana, ibu bapa menerima 5,000 yen/AS$50 sebulan bagi setiap anak yang dilahirkan.

Di Malaysia, terdapat pelbagai insentif diberikan Kerajaan Malaysia demi memastikan objektif dasar tersebut tercapai.

Antaranya program perkahwinan secara beramai-ramai, paternity leave dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari bermula tahun 2003, pengurangan hari bekerja daripada enam hari kepada lima hari berkuat kuasa Julai 2005 dan banyak lagi.

Selain daripada memastikan jumlah penduduk meningkat, kerajaan juga perlu memastikan bahawa kadar kematian penduduk berkurangan.

Dalam sektor kesihatan, Kementerian Kesihatan membuat persediaan awal dengan mengambil kira jumlah pusat kesihatan yang harus ditambah
di kawasan luar bandar, menambah jumlah doktor dan jururawat terlatih, menyediakan ubat-ubatan yang mencukupi dan sebagainya.

Tidak hairanlah mengapa kerajaan begitu menitikberatkan kesihatan rakyat Malaysia, terutama sekali kesihatan
ibu dan anak.

Bertuahnya rakyat Malaysia kerana memiliki sebuah kerajaan yang bukan saja menitikberatkan kesihatan ibu dan bayi sebelum proses kelahiran bayi (antenal care), malah kerajaan juga begitu mengambil berat berkaitan hal penjagaan kesihatan ibu selepas bersalin (postnatal care).

Antenal care merupakan pemeriksaan kesihatan berkala sebaik sahaja ibu disahkan hamil untuk memantau keadaan ibu dan janin.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk pemeriksaan berat dan tekanan darah ibu, ujian air kencing untuk memeriksa kandungan protin dan glukos, kedudukan janin, kadar degupan jantung janin dan sebagainya.

Selain itu, ibu dan pasangan (suami) juga perlu menjalankan ujian HIV untuk mengenal pasti jangkitan di peringkat awal kehamilan supaya rawatan HIV kepada ibu boleh di lakukan dengan kadar segera.

Postnatal care pula bermaksud penjagaan ibu selepas kelahiran sehingga alat kelamin dan rahim kembali normal.

Suami atau waris ibu perlu memaklumkan kepada jururawat di klinik terdekat mengikut alamat rumah ibu sebaik-baiknya dalam masa 24 jam selepas kelahiran bayi.

Jururawat akan datang
ke rumah mengikut piawai jadual lawatan yang ditetapkan.

Semasa lawatan ke rumah, jururawat akan memeriksa ibu dan bayi mengikut prosedur ditetapkan.

Antara jenis pemeriksaan kesihatan yang dilakukan terhadap ibu merangkumi pemeriksaan luka pembedahan, pemeriksaan suhu badan, pernafasan, tekanan darah dan denyutan nadi ibu.

Selain itu, jururawat yang melawat ibu juga akan melakukan pemerhatian dan rundingan kepada ibu mengenai cara penyusuan ibu yang betul.

Sekiranya terdapat sebarang masalah, ibu diminta untuk pergi ke klinik ataupun hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Ibu yang berisiko seperti menghidapi darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya memerlukan jagaan perawatan postnatal yang lebih kerap mengikut keperluan supaya rujukan segera dapat dibuat
ke klinik atau hospital.

Selain itu, bayi yang baru lahir itu juga akan diperiksa dari segi berat badan, suhu, mata, kulit, pusat dan jaundice (kuning).

Jaundice mudah dirawat, tetapi jika tahap jaundice tinggi boleh membawa komplikasi buruk seperti gangguan otak, masalah pembelajaran dan membahayakan nyawa bayi itu sendiri.

Oleh disebabkan itu, selalunya jururawat yang datang melawat akan memastikan bahawa teknik penyusuan ibu adalah betul demi memastikan bayi tersebut bebas daripada jaundice.

Ternyata, nikmat apakah yang ingin didustakan sehinggakan kedua-dua perkhidmatan penjagaan antenal dan posnatal ini diberikan secara percuma kepada warganegara Malaysia?

Jadi, sama-samalah kita menghargai penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia pula, sama-samalah kita memainkan peranan agar objektif Dasar Kependudukan Negara ini tercapai.

Malaysia Boleh!

 

>>Penulis merupakan Pensyarah Dasar Awam
di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 9:51 AM
Digital NSTP Subscribe