Norhayati Nordin


HARI ini bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan Malaysia sebagai langkah pencegahan membendung penularan wabak Covid-19.

Lebih dua bulan berlalu, penularan Covid-19 nyata tidak reda, malah semakin mengganas apabila jumlah pesakit dijangkiti di negara ini meningkat mendadak.

Satu penularan wabak luar biasa yang membawa dugaan besar kepada seluruh dunia yang mana mendorong kelumpuhan ekonomi berlaku.

Menerusi Perintah Kawalan Pergerakan diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu, penguatkuasaan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perintah itu antaranya meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Menjurus pada larangan ini, agak banyak sebenarnya pelbagai majlis yang sudah dirancang perlu ditunda pada tarikh baru akan diumumkan kelak.

Justeru, bagi acara hiburan semestinya ada beberapa konsert penyanyi popular tanah air yang sudah dirancang penganjurannya ditangguhkan serta-merta.

Antara persembahan nyanyian yang menjadi perhatian itu ialah Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia pada 27 Mac, Konsert Apologia Search & Awie (28 Mac) dan Riot Fest (4 April).

Selain acara nyanyian, penayangan filem tempatan dan luar negara di pawagam juga ditunda pada tarikh lain disebabkan penularan Covid-19.

Melihatkan pada senario yang berlaku, penularan Covid-19 ini adalah ancaman luar jangka yang tidak pasti bila akan menunjukkan tahap redanya.

Apapun, kebimbangan yang melanda negara dan rakyat kini sangat memerlukan kerjasama semua pihak untuk melakukan langkah pencegahan bersama.

Semoga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan kerajaan sehingga 31 Mac ini diharap ada perubahan positif yang berlaku.

Sebagai rakyat, marilah menghormati saranan kerajaan bagi kesejahteraan semua selagi ada cara dan usaha untuk membendung penularan wabak pembunuh ini.

Bagaimanapun, pada masa ‘kuarantin’ diberikan segala maklumat terkini berkaitan Covid-19 disalurkan melalui laporan media dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehingga semalam, KKM melaporkan ada 120 kes baru dikesan menjadikan keseluruhan terkini sebanyak 672 kes dan terdapat dua kematian sudah dicatat di Malaysia.

Melihatkan kepada maklumat itu, semestinya sangat memeranjatkan apabila sudah ada kematian dicatat. Namun, usah panik dan teruskan berdoa.

Ikut pekeliling saranan sudah dikeluarkan kerajaan seperti tidak membuat sebarang perjalanan ke destinasi luar negara memandangkan cuti persekolahan yang panjang.

Sebagai ibu bapa, semestinya acara rutin setiap kali tiba cuti persekolahan yang menjurus pada perancangan percutian bersama anak-anak ke destinasi pilihan.

Namun, untuk cuti persekolahan yang bermula sejak 16 Mac lalu nampaknya menjadi satu kelainan kerana ia perlu diisi dengan aktiviti kekeluargaan di rumah saja.

Melalui masa yang ada itu, kiranya dapatlah dipenuhkan dengan aktiviti yang boleh merapatkan hubungan kekeluargaan terutama buat ibu bapa bekerjaya dan anak-anak.

Di rumah, sudah pasti ada pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama seisi keluarga seperti memasak, mengemas, menonton dan paling menarik bermain e-sukan bersama.

Apatah lagi, dalam arus kemodenan masa kini didapati generasi muda sekarang sangat memberi tumpuan kepada aktiviti e-sukan pada telefon pintar masing-masing.

Justeru, dapat dirasakan tiada istilah ‘bosan duduk di rumah’ sepanjang tempoh kuarantin kerana segala perancangan aktiviti bersama keluarga masih boleh diatur.

Demi kesihatan diri sendiri dan keluarga, anggap saja semua aktiviti di rumah itu sebagai peluang ‘menebus masa’ yang sebelum ini mungkin tiada bersama anak-anak.

Seiring dengan ungkapan sinonim masa kini ‘segala maklumat di hujung jari’, sudah tentu sebagai ibu bapa kita mampu merancang percutian terbaik di rumah.

 
  

>>Penulis adalah wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 6:01 AM
Digital NSTP Subscribe