ORANG ramai memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan jangkitan COVID-2019.
ORANG ramai memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan jangkitan COVID-2019.
Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

HARI ini mungkin ada yang kurang senang apabila digunakan perkataan bala, kifarah, musibah apabila merujuk kejadian buruk seolah-olah apabila kita bicara berkaitan kejadian atau bencana yang tidak disenangi itu persis saja kita bergembira dengan duka orang lain.

Bukan daripada akhlak Muslim yang terpuji apabila kita mengatakan padan muka kepada orang yang ditimpa musibah atau kemalangan seperti kematian seseorang atau rumah terbakar atau rumah dimasuki pencuri, lantas kita bertepuk tangan di atas penderitaan orang lain.

Krisis wabak Covid-19 yang melanda negara mengundang keprihatinan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang merayu orang ramai lebih bertanggungjawab dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata, rakyat perlu membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memainkan peranan masing-masing bagi mengelak negara terjerumus dalam gelombang ketiga penularan Covid-19 serta merayu kepada rakyat patuh perintah kawalan pergerakan ini secara serius serta duduk di rumah.

Musibah atau bencana boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti fenomena bencana alam seperti hujan ribut, taufan, banjir, gempa bumi, letupan gunung berapi atau bencana perang yang ditimbulkan oleh kerakusan manusia untuk mendominasi dunia sebegaimana berlaku ketika Perang Dunia I dan Perang Dunia II.

Perang Dunia II adalah konflik ketenteraan yang paling dahsyat dalam sejarah dan danggarkan 70 hingga 85 juta orang terkorban iaitu tiga peratus daripada penduduk dunia 1940 (kira-kira 2.3 bilion) jelas menunjukkan musibah perang meragut nyawa manusia.

Musibah perang yang tidak kunjung padam memberi kesan kepada orang awam jika dibandingkan dengan pasukan tentera dan ini terbukti dengan fakta yang dikeluarlan UNHCR (the UN Refugee Agency) terhadap nasib pelarian perang seperti di Syria dan di Yaman.

Manakala, fenomena virus yang bertindak balas terhadap wabak penyakit pernafasan yang disebabkan oleh koronavirus baharu yang pertama kali dikesan di China dan kini dikesan di lebih daripada 150 lokasi di peringkat antarabangsa, termasuk di Amerika Syarikat.

Virus ini dinamakan SARS-CoV-2 dan penyakit itu dinamakan penyakit koronavirus 2019 (disingkat Covid-19) dan pada 30 Januari lalu, Peraturan Kesihatan Antarabangsa Jawatankuasa Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam bagi ikon antarabangsa yang berkesudahan antarabangsa.

Wabak Covid-19 yang kini tersebar ke seluruh penjuru alam dan kini menyaksikan korban dua kematian di negara ini, ia menjadi keprihatinan KKM yang sentiasa peka apatah lagi dengan Gelombang Kedua yang membabitkan jumlah pesakit yang bertambah.

Semalam Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan di seluruh negara bagi menangani wabak yang turut menular di negara ini dan ia musibah yang tidak pernah kita jangkakan yang sebelum ini mengenai negara jiran.

Ini pengalaman pertama kali kita menyaksikan rumah ibadat turut menjadi kawasan terkawal dan muazin hanya melaungkan azan di samping pengumuman untuk orang ramai solat berjemaah di rumah masing-masing.

Mungkin sekali pandang kita kena menjadikan ini sebagai ibrah atau contoh untuk bahan renungan dan muhasabah diri kerana seolah-olah Allah SWT ingin mengingatkan kita supaya berhenti sebentar mengejar dunia dan membuat muhasabah diri.

Selama dua minggu kita akan membina keluarga bahagia, persis ungkapan Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku) dengan duduk bersama keluarga, melihat wajah anak-anak yang diberi cuti sekolah, melihat wajah suami dan isteri, menenangkan hati, solat bersama keluarga, ayah menjadi imam ibu dan anak-anak sebagai makmum, tilawah dan tadabbur al-Quran.

Kita terlalu terkejar-kejar dalam era rat race, lantas tanpa berhenti terus berfikir hal duniawi, maka saat yang santai ini boleh digunakan untuk melakukan aktiviti dengan tenang untuk menambah amal ibadat mungkin selama ini masih diamalkan setiap hari namun secara tergesa-gesa.

Di dalam al-Quran, Allah mengingatkan kita apabila ditimpa musibah maka kita hendaklah mengucapkan Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rojiun (Sesungguhnya kami ini adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan).

Maka jika kita teralpa dan lupa mengingati Allah maka jalan kembali kita adalah kembali kepada Allah dengan memperbanyakkan zikrulah dan membuat muhasabah diri mengenai dosa yang kita lakukan dan bertaubat di atas keterlanjuran kita.

Allah sayangkan hamba-Nya dan kita perlu menyedari apa yang kita alami ini adalah sebagai kejutan daripada tidur (wake up call) kerana selama ini tanpa kita sedari kita mengabaikan perintah Allah dan melakukan maksiat yang kita tidak sedari.

Manifestasi bagaimana sikap kita dan pergantungan begitu longgar terhadap Allah apabila kita berebut-rebut untuk membeli barangan di pasar raya jelas sekali kita begitu pesimis seolah-olah esok sudah tiada lagi dan kita memikirkan untuk mengalas perut sahaja.

Allah berfirman: “Sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa ... Sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (QS Al-Baqarah 2:155-156)

Mari kita tadahkan tangan memohon limpah dan Kurnia-Nya: “Ya Allah! Andai wabak Covid -19 ini adalah disebabkan dosa~dosa kami, ampunkanlah dosa-dosa kami: “Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Lindungilah kami, ibu bapa kami, seluruh ahli keluarga kami, sanak saudara kami dan negara kami daripada wabak ini.”

Penulis Bekas Pegawai Perhubungan Akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 6:01 AM
    Digital NSTP Subscribe