FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

PENULARAN wabak Covid-19 mula memberikan ancaman yang besar kepada nyawa manusia di seluruh pelosok dunia. Negara kita juga tidak terkecuali apabila bilangan kes positif dan kematian terus meningkat serta membimbangkan.

Ringkasnya, rakyat mula cemas, panik dan bimbang. Mujur tindakan pantas kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilihat mula membantu dari segi mengekang dan menghalang penularan wabak ini dengan lebih agresif.

Walaupun dilaporkan kes positif terus meningkat, penulis percaya ia masih pada kadar rendah berbanding jika kita tidak melaksanakan PKP apabila kes baharu akan terus naik mendadak.

Ironinya, wabak ini tidak kenal mangsa. Lelaki, wanita, orang muda atau warga emas mahupun kanak-kanak semuanya boleh jadi mangsa jika kita leka dan cuai. Begitu juga wabak ini tidak kenal agama, bangsa dan ideologi politik mangsa sebelum dijangkiti.

Oleh itu, penulis yakin cara terbaik untuk menghadapi dan menangani wabak ini ialah dengan bersatu dan berhadapan dengannya sebagai sebuah bangsa Malaysia yang kuat, cekal, berdaya tahan serta berdisiplin.

Dalam konteks ini, kita perlu sedar menangani wabak bukan tugas anggota perubatan atau kerajaan semata-mata sebaliknya ia perlu membabitkan pembabitan seluruh lapisan masyarakat mengikut kapasiti masing-masing.

Hakikatnya kerajaan sedang buat yang terbaik untuk menangani ancaman wabak ini. Segala bantuan, peruntukan kewangan dan keperluan lain disalurkan mengikut kemampuan. Malah, polis dan tentera juga digunakan untuk menguat kuasa arahan PKP. Kita percaya kerajaan akan terus komited dan bertanggungjawab untuk meneruskan pelbagai inisiatif supaya wabak ini dikendalikan sebaik mungkin.

Dalam pada itu kehebatan pasukan perubatan dan petugas barisan hadapan dalam menghadapi serangan wabak ini juga cukup terserlah serta tiada siapa boleh mempertikaikannya. Mereka melakukan segala yang termampu tanpa mengenal erti penat demi menyelamatkan nyawa rakyat walaupun nyawa sendiri dalam risiko.

Jangan lupa bilangan petugas barisan hadapan yang dijangkiti wabak ini juga mula membimbangkan, namun ternyata kelompok penjawat awam yang begitu berdedikasi ini tidak pernah takut, kecewa atau berputus asa.

Tatkala sebelum ini semua pihak bimbang masalah kemelesetan ekonomi, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kos sara hidup, pengangguran dan pelbagai masalah sosial serta politik, kita dikejutkan secara tiba-tiba dengan serangan wabak yang cukup berbahaya yang menuntut kita bersatu padu, cekal dan kuat. Oleh itu, hentikan seketika isu politik, agama, bangsa atau persoalan lain yang boleh kita selesaikan kemudian.

Pada saat getir seperti ini kita sedikit pun tidak boleh terpisah melalui garisan agama, bangsa, warna kulit mahupun ideologi politik. Paling penting tolong jangan politikkan isu ini. Jika ada kelemahan daripada kerajaan sekalipun marilah kita sama-sama membantu memperbaiki dengan berhemah.

Ini bukan penyakit sesuatu bangsa, agama atau parti politik, sebaliknya menyerang seluruh umat manusia. Jadi, percayalah jika kita bersatu hati pasti akan dapat mengekang penularan wabak seterusnya berjaya mengharungi cabaran yang getir ini dengan jayanya.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita perlu bersikap matang, rasional, komited dan berdisiplin. Patuhilah PKP, duduk diam-diam di rumah dan hanya keluar untuk sebab munasabah seperti membeli barangan keperluan harian demi mengelak rantaian penularan wabak yang baharu.

Di samping itu, dengarlah nasihat dan rayuan petugas perubatan agar mengekalkan tahap kesihatan yang terbaik seperti amalkan jarak sosial satu meter, menggunakan penutup mulut dan hidung (face mask) jika batuk, menggunakan ‘hand sanitizer’, kerap membasuh tangan serta membersihkan diri.

Malah, jangan sesekali menipu atau menyorok sebarang maklumat daripada pasukan perubatan ketika menjalani saringan kesihatan terutama sejarah perjalanan atau kontak dengan mana-mana individu yang ada simptom atau disahkan positif Covid-19.

Kita juga perlu bersatu hati dengan menzahirkan sikap yang baik dan tahap disiplin tinggi dari segi tidak menularkan sebarang berita palsu sehingga mencetuskan panik dalam kalangan anggota masyarakat serta menyukarkan misi bantuan kerajaan dan pasukan perubatan.

Berita palsu seperti adanya kematian terkini atau ada kes positif di sesuatu tempat atau seseorang itu dilaporkan positif tanpa sebarang pengesahan pihak berkuasa bukan saja boleh membimbangkan anggota masyarakat malah boleh mengeruhkan keadaan.

Satu lagi perkara membimbangkan masyarakat sekarang ialah harga penutup mulut dan hidung dan hand sanitizer melambung naik sejak wabak ini menular. Kita faham permintaan tinggi secara mengejut menyebabkan stok berkurangan apatah lagi jika ia terpaksa diimport apabila pengeluaran dalam negara tidak mencukupi.

Bagaimanapun, itu bukanlah alasan untuk kita menaikkan harga sesuka hati, mengambil kesempatan dan ‘cekik darah’ pengguna.

Ingat, ini bukan masa mengaut keuntungan. Ayuh rakyat Malaysia sedarlah kita berhadapan bencana kesihatan yang cukup membimbangkan. Jika kita gagal bersatu hati dalam menghadapi wabak ini, percayalah kes positif dan kematian akan terus meningkat.

Biar ditulis dalam tinta sejarah negara ini betapa seluruh rakyat Malaysia bersatu padu mendepani ancaman wabak ini. Ambil iktibar bagaimana penduduk China terutama di wilayah Wuhan bersatu hati dan bekerjasama sehingga dapat keluar daripada serangan wabak ini.

Marilah kita berpaut teguh kepada prinsip, ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’ demi menyelamatkan nyawa seluruh rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa wabak Covid-19.

Penulis mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada wira tidak didendang iaitu seluruh petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjaga serta menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.

>>Penulis Timbalan Pengarah Strategi Korporat

dan Komunikasi Universiti

Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 6:00 AM
Digital NSTP Subscribe