ANGGOTA Polis
ANGGOTA Polis
Professor Madya Dr Cheah Phaik Kin

TANGGAL 25 Mac pada setiap tahun adalah hari paling bermakna bagi mereka yang bergelar polis bagi meraikan sambutan Hari Polis ke-213.

Malah, di negara ini sambutan hari berkenaaan diraikan dengan penuh gemilang namun tidak bagi tahun ini, apabila ia terpaksa ditunda sebagai langkah berwaspada dan berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan jangkitan virus Covid-19, khususnya dalam kalangan masyarakat.

Dalam keadaan yang penuh berwaspada dan kekhuatiran ini, selain pekerja kesihatan, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berdepan risiko apabila berada di barisan hadapan demi menjaga ketenteraman, memelihara keamanan memastikan keselamatan negara serta komuniti berada pada tahap yang terkawal.

Pengalaman singkat saya sebagai anggota Konstabel Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) membantu meluaskan pandangan terhadap kerjaya kepolisan khasnya dan pengorbanan anggota polis amnya.

Sebagai agensi penguat kuasa utama negara, PDRM kini memikul tanggungjawab yang semakin berat. Malah, umum juga menyedari tugas anggota polis tidak pernah bernoktah. Malah, anggota yang bertugas di balai polis juga tidak betah untuk berehat.

Mereka memikul tanggungjawab yang cukup penting bagi negara. Mereka inilah insan bertanggungjawab mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam, mencegah dan mengesan jenayah serta mengumpul risikan keselamatan dilaksanakan tanpa gagal atau tertangguh.

Tugas mereka berjalan setiap detik, tanpa mengira masa dan ketika, sama ada ketika peperangan mahupun aman, semua tanggunjawab dilaksanakan dengan penuh dedikasi. Dari sehari ke sehari, cabaran yang dihadapi polis dilihat kian meningkat, bertambah rumit dan mencabar.

Polis sering berhadapan jenayah siber yang merentas sempadan menggunakan teknologi yang canggih. Teknologi yang kian berubah secara mendadak tentunya menyukarkan penjenayah dikesan pihak penguat kuasa. Begitu juga peranan yang dimainkan SSPDRM sebagai anggota sokongan. Sebagai anggota SSPDRM, kami berada di samping anggota regular untuk membantu menjalankan tugas harian.

Kami tidak berprestij dan jarang mendapat tumpuan. Malah, orang awam biasanya sukar membezakan antara anggota SSPDRM dengan anggota regular. Semuanya nampak sama dan seragam. Oleh itu, jangkaan dan harapan mereka terhadap anggota SSPDRM juga tidak kurang tingginya.

Kini, sumbangan anggota SSPDRM walaupun nampak kecil, tapi ikhlas dan tidak boleh dipandang rendah. Di samping kerja hakiki masing-masing, anggota SSPDRM sedia menyumbangkan masa dan tenaga di luar waktu kerja untuk menjalankan tugas kepolisan.

Mereka sanggup mengorbankan masa rehat dan bersama keluarga demi berkhidmat untuk negara. Oleh itu, bersempena dengan sambutan Hari Polis hari ini, marilah kita sama-sama mengenang jasa dan menghargai sumbangan, dedikasi semua anggota polis di Malaysia, sama ada yang masih hidup atau yang terkorban dalam perjuangan.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan terkini apabila negara berdepan cabaran menangani pandemik menyebabkan perbarisan Hari Polis yang dinanti-nantikan di seluruh negara terpaksa ditunda.

Walaupun lagu Sang Sangka Biru tidak dapat dimainkan di pembesar suara, bagi kami, ia tetap dinyanyikan dan dihayati dalam hati. Hakikatnya, kami sentiasa bersedia dan bersiap siaga untuk dikerah bersama-sama berbakti dalam perjuangan demi negara tercinta ini.

>>Penulis pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampus Kampar

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:01 AM
    Digital NSTP Subscribe