SEKATAN jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan.
SEKATAN jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan.
Syarifah Dayana Syed Bakri


KITA semakin menghampiri bulan keempat tahun 2020 namun isu Covid-19 masih belum surut dan tidak menampakkan sebarang tanda untuk berhenti.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir 31 Mac ini dilanjutkan sehingga 14 April namun pematuhan PKP masih belum mencapai tahap memuaskan di beberapa lokasi.

Masih ada lagi orang awam yang keluar tanpa urusan penting dan lebih menyedihkan turut membawa anak kecil.

Tidak pasti apa yang membuatkan segelintir individu ‘gatal kaki’ keluar dan tidak betah duduk di rumah sedangkan jika diberi pilihan, kakitangan kesihatan, anggota pasukan keselamatan, malah petugas media juga mahu duduk di rumah bersama keluarga.

Namun atas dasar amanah dan tanggungjawab, mereka tidak boleh terus berada di rumah masing-masing dan perlu mengawal keselamatan awam termasuk ‘berleter’ kepada individu yang tidak mahu duduk di rumah seperti segelintir manusia degil di Malaysia ini.

Ada media melaporkan terdapat individu memberi alasan untuk menyiram pokok di pejabat, membeli alat pertukangan, bersiar-siar dan menziarah keluarga ketika ditahan pihak berkuasa dalam sekatan jalan raya.

Arahan PKP ini dilaksanakan bukan untuk menyekat kebebasan individu tetapi, untuk mengekang penularan wabak Covid-19 yang sehingga kini meragut 26 nyawa.

Langkah ini sangat penting kerana ia berkesan membantu mengurangkan jumlah jangkitan. Bayangkan jika PKP tidak dilaksanakan dan kita bebas ke sana sini termasuk individu yang sudah mempunyai virus dalam badannya, tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom. Sudah pasti dalam tempoh 14 hari jumlah individu yang dijangkiti jauh lebih tinggi.

Itulah yang berlaku di Itali.

Pelaksanaan perintah berkurung dipandang ringan. Rakyatnya tidak mengambil serius arahan kerajaan kerana budaya masyarakat Itali yang sukakan aktiviti sosial di luar kediaman masing-masing.

Berdasarkan angka yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 23 peratus daripada populasi Itali adalah mereka berusia 65 tahun dan ke atas.

Ia menyebabkan pandemik Covid-19 lebih sukar dibendung di Itali kerana jumlah populasi warga emas yang tinggi.

Malah, Itali adalah negara kedua tertinggi di dunia mempunyai populasi warga emas yang ramai selepas Jepun.

Berdasarkan laporan CNBC, hospital di Lombardy, wilayah yang menjadi pusat wabak di Itali tidak lagi berupaya menerima pesakit baharu kerana jumlah kes yang diterima setiap hari terlalu ramai.

Presiden Lombardy, Attilio Fontana berkata, pihaknya menyeru agar orang ramai duduk di rumah untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk.

“Sekiranya keadaan ini tidak dikawal, hospital di sini tidak lagi boleh menerima pesakit,” katanya.

Reuters melaporkan angka yang dicatatkan setakat Jumaat lalu menyaksikan Lombardy terus berada dalam keadaan kritikal dengan 4,861 kematian dan 34,889 kes jangkitan.

Malah, sehingga artikel ini ditulis jumlah kematian di seluruh Itali mencecah 8,165.

Selain Lombardy, Bergamo turut mencatatkan episod duka tersendiri.

The Guardian melaporkan Bergamo berdepan kesukaran untuk mengebumikan mayat berikutan peningkatan kes kematian akibat wabak Covid-19.

Situasi itu dapat dilihat apabila banyak keranda bersusun di luar gereja, manakala individu yang meninggal dunia di rumah perlu disimpan di dalam bilik untuk beberapa hari sementara menunggu masa untuk dikebumikan.

Kerja pengebumian yang biasanya hanya 120 saja sebulan kini mencecah 600 dalam tempoh kira-kira 25 hari.

Difahamkan, terdapat 80 syarikat pengurusan pengebumian di sekitar Bergamo dan setiap satunya menerima puluhan panggilan dalam tempoh sejam.

Malah, penyedia perkhidmatan berdepan masalah berikutan bekalan keranda yang berkurangan selain ada antara pekerja dijangkiti wabak itu hingga menghalang persiapan pengebumian.

Kita pasti tidak mahu situasi sama berlaku di tanah tumpahnya darah kita ini.

Duduklah di rumah. Luangkan masa dengan keluarga. Buatlah apa saja aktiviti asalkan anda semua terus berada di rumah.

Jadikan juga tempoh ini untuk kita tingkatkan amal ibadat.

Seperti kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kaum ibu kini ada banyak masa di rumah mencuba pelbagai resipi masakan baharu untuk hidangan seisi keluarga.

Masaklah wahai kaum ibu. Mainlah permainan video itu wahai si ayah. Sepahkanlah rumahmu wahai anak. Buatlah apa saja asalkan semuanya di rumah masing-masing.

>>Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 7:00 AM