minda

TANGGAL 29 Mac lalu, Malaysia mencatatkan tujuh kematian akibat Covid-19, iaitu angka kematian tertinggi setakat ini. Ini menjadikan kematian setakat hari itu seramai 43 orang.

Seramai 700,000 orang pula dihinggapi virus ini di seluruh dunia dengan kematian 33,000 orang. Perkara yang membimbangkan, virus ini juga mula merebak ke beberapa rancangan Felda apabila setakat ini 29 peneroka dijangkiti Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan negara kita belum berada di puncak pandemik ini dan dijangka puncak pandemik ini akan berlaku pertengahan bulan ini.

Sementara itu, ada juga maklumat dari negara luar yang meramalkan puncak pandemik dunia akan berlaku antara April hingga Jun atau mungkin lebih lama. Nauzubillahiminzalik.

Bagi membendung gejala virus Covid-19 ini daripada terus merebak, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk yang dilaksanakan sekarang iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketat (PKPD).

Kerajaan juga memulakan saringan dari rumah ke rumah bagi kawasan merah (red zone). Ahli perubatan juga sependapat bahawa menjaga kebersihan diri dan mengawal pergerakan adalah cara yang paling berkesan bagi membendung rantaian virus ini daripada terus merebak.

Mudah-mudahan vaksin untuk melawan dan memulihkan mereka dihinggapi penyakit ini akan ditemui segera. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dengan meminta umatnya menjaga kebersihan dan mengurung diri apabila berlaku wabak penyakit.

Sabda Rasulullah bermaksud: ‘Sekiranya kamu mengetahui ada wabak penyakit dalam sesuatu kawasan itu, jangan memasuki kawasan itu dan jika kamu sudah berada di dalam kawasan itu maka janganlah kamu pula keluar dari situ’.

Baginda juga bersabda yang bermaksud ‘Mereka yang mempunyai penyakit berjangkit, hendaklah menjauhkan diri daripada mereka yang sihat’.

Nabi Muhammad SAW sangat menitikberatkan kesihatan apabila baginda bersabda yang bermaksud: ‘Basuhlah tangan kamu apabila bangun daripada tidur kerana kamu tidak tahu di mana tangan kamu berada semasa tidur.’

Nabi Muhammad SAW juga menyarankan supaya kita membasuh tangan sebelum dan selepas menikmati makanan. Sekiranya kita jatuh sakit, Nabi Muhammad SAW meminta umatnya mendapatkan rawatan perubatan dan mencari ubat apabila jatuh sakit.

Baginda bersabda yang bermaksud, ‘Gunakanlah rawatan perubatan. Allah tidak mencipta sebarang penyakit tanpa ada ubat untuknya, kecuali satu penyakit iaitu umur tua’.

Ini jelas menunjukkan Rasulullah mengetahui perihal pentingnya kita hidup seimbang di antara takdir dan kesan ke atas tindakan kita.

Daripada berita kita baca dan dengar, masih ramai antara masyarakat kita yang masih ingkar dengan PKP atau PKPD yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Masih ramai di antara kita yang tidak menjaga jarak (social distancing) seperti yang disarankan pakar kesihatan. Masih ramai anak dan cucu kita di rancangan Felda masih berkumpul berbual-bual di tepi jalan tanpa mengira kesan di atas tindakan mereka.

Marilah kita mematuhi dan memastikan PKP dilaksanakan di rancangan kita. Buat masa ini, marilah kita menghabiskan masa di rumah saja dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri serta keluarga.

Banyak perkara yang berfaedah yang boleh kita buat bersama-sama keluarga dan meningkatkan amal jariah sepanjang tempoh berada didalam rumah kita ini.

Bagi keluarga dan anak cucu yang selalunya balik ke rumah ibu bapa, eloklah kita tangguhkan buat sementara waktu. Kebanyakan ibu bapa kita warga tua yang lebih mudah mendapat kesan tahap bahaya apabila dijangkiti virus ini.

Nabi Muhammad SAW meminta umatnya supaya sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah SWT, tetapi pada masa sama menyeru supaya mengambil langkah perlindungan untuk kesetabilan, keselamatan dan kesejahteraan kita semua.

Patuhi PKP dan duduk di rumah, laporkan segera mereka yang demam, batuk dan selesema. Lindungi warga tua. Jangan bersalaman apabila berjumpa. Nasihatkan anak cucu jangan pulang ke kampung, mungkin termasuk Ramadan dan raya. Solatlah di rumah masing-masing. Apabila pulang dari kedai, cuci tangan dan terus mandi serta basuh baju dipakai.

>>Penulis Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 7:00 AM