GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Syarifah Dayana Syed Bakri


TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia sudah masuk ke fasa ketiga. Ini bermakna, tahun ini rakyat Malaysia dan sebahagian besar penduduk dunia beragama Islam akan menyambut Ramadan dalam keadaan ‘dikurung’ di rumah sendiri.

Jika kita biasa mendengar orang berkata bulan Ramadan syaitan diikat dan dikurung, kali ini manusia pula dikurung tidak boleh ke mana-mana.

Ini kerana pandemik Covid-19 masih belum menampakkan sebarang tanda untuk berhenti.

Jika bulan lalu Itali menjadi negara yang mencatatkan kes jangkitan dan jumlah korban yang tinggi, namun perhatian kini mula beralih ke Amerika Syarikat (AS).

Setakat artikel ini ditulis, lebih 600,000 individu di AS disahkan positif Covid-19 dengan jumlah korban melebihi 10,000 dengan bandar New York menjadi lokasi yang mencatatkan kes tertinggi.

Malah, AFP melaporkan jumlah kematian akibat pandemik Covid-19 yang dicatatkan di New York melebihi angka kematian akibat insiden serangan 9/11 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Peristiwa yang berlaku pada 2001 itu mencatatkan angka kematian sekitar 2,753 di bandar metropolitan berkenaan sedangkan angka kematian akibat Covid-19 dianggarkan melebihi 3,000.

Dalam keadaan lebih banyak negara kelam-kabut berdepan peningkatan kes setiap hari, China dilihat sedikit lega kerana jumlah kes baharu yang dicatatkan semakin berkurangan.

Namun, China kini berdepan masalah kes jangkitan import yang berlaku di kalangan individu yang masuk ke negara berkenaan.

Wuhan bandar yang menjadi pusat wabak Covid-19 mengisytiharkan perintah berkurung yang dilaksanakan selama dua bulan berakhir sekitar akhir Mac lalu.

Beberapa rutin harian turut disambung selain keluarga yang terpisah sebelum ini bersatu semula.

Walaupun keadaan dilihat semakin pulih, Wuhan masih mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan petugas kesihatan tetap mengenakan pakaian perlindungan penuh selain sukarelawan dilihat menawarkan cecair pembasmi kuman di tempat awam.

Malah, mereka juga perlu mempunyai kod kesihatan di telefon pintar masing-masing sebelum menggunakan pengangkutan awam.

Langkah ini diambil kerana pihak berkuasa masih bimbangkan pembawa tanpa gejala yang mungkin boleh menyebarkan virus berkenaan.

Ia bermakna penduduk Wuhan kini meneruskan hidup dengan norma baharu, rutin yang tidak biasa dilakukan namun, perlu diamalkan sepanjang masa.

Kita di Malaysia juga pastinya perlu meneruskan hidup dengan norma baharu selepas tamatnya PKP kelak.

Perlu sentiasa mengenakan penutup muka dan hidung, memakai cecair pembasmi kuman, kerap membasuh tangan dengan sabun dan mengamalkan penjarakan sosial.

Norma baharu kita juga bermakna Ramadan ini tiada solat Tarawih di masjid atau surau, tiada bazar Ramadan dan tiada majlis berbuka puasa beramai-ramai.

Ia juga perlu diteruskan pada Aidilfitri nanti dan mungkin tidak hanya terhenti di situ sebaliknya berpanjangan sehingga sampai satu tempoh kelak.

Norma baharu ini perlu menjadi rakan karib kita sehinggalah bijak pandai dalam bidang sains menemui vaksin bersesuaian untuk mencegah virus ini menyerang sistem tubuh badan manusia.

Sehingga kini belum ada vaksin untuk mengekang penyebaran virus ini namun, saya percaya banyak kumpulan penyelidik sedang bertungkus-lumus memerah idea mencari solusi mengatasi masalah ini.

Sebagaimana dilaporkan The Times, sekumpulan saintis dari Universiti Oxford kini gigih membangunkan vaksin untuk Covid-19.

Diketuai Profesor Vaksinologi, Sarah Gilbert, beliau yakin 80 peratus vaksin yang dibangunkan pasukannya berkesan menentang virus berkenaan.

Beliau juga mengatakan ia akan tersedia menjelang September nanti bagaimanapun pihaknya tidak menjamin ia berkesan untuk semua orang.

Apa-apa vaksin sekalipun, pasti mengundang risiko kesan sampingan selepas imunisasi atau AEFI. Namun, itu tidak bermakna kita perlu menolak terus pemberian vaksin berkenaan.

Tahun lalu, laporan menyebut bahawa statistik menunjukkan daripada lebih 6.9 juta dos vaksin yang diberikan hanya kira-kira 1,300 kesan sampingan dicatatkan.

Ia bermakna, hanya 0.02 kes AEFI dilaporkan dalam 100 dos.

Kes AEFI ini juga biasanya hanya membabitkan ruam, demam dan sakit di tempat suntikan.

Sekiranya vaksin Covid-19 ini siap kelak, kita perlu bekerjasama menerima suntikan vaksin ini bagi membina imuniti kelompok yang boleh melindungi golongan berisiko seperti bayi atau mereka yang mempunyai penyakit kritikal seperti pesakit barah.

Jika kita mahu hidup seperti sebelum ini, kita perlu mula mengubah mentaliti bermula sekarang. Bukalah hati untuk menerima perubahan.

Kita pasti tidak mahu jadi seperti peribahasa Melayu - tangan yang celaka kerja jatuh yang bermaksud mendapat kerugian akibat perbuatan anggota keluarga yang tidak bertanggungjawab.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 6:59 AM