Anggota tentera giat memasang kawat berduri di kawasan Taman Seri Murni Selayang pada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan Covid-19. FOTO ASWADI ALIAS
Anggota tentera giat memasang kawat berduri di kawasan Taman Seri Murni Selayang pada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan Covid-19. FOTO ASWADI ALIAS
Syah Rul Aswari Abdullah


KETIKA banyak negara mula melonggarkan sekatan pergerakan berhubung Covid-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa pandemik ini tidak berakhir dalam masa terdekat.

Menurut WHO, perang terhadap wabak itu masih pada peringkat awal meskipun ada negara yang berpandangan mereka sudah melepasi tahap episod kematian tertinggi.

Setakat semalam, wabak itu sudah menyebabkan kematian lebih 190,000 orang di seluruh dunia.

China yang sebelum ini 'membuka' semula Wuhan, pusat penularan wabak berkenaan, sejak Disember tahun lalu, kini berdepan dengan peningkatan kes import.

Terkini, China menguatkuasakan sekatan pergerakan di Harbin, bandar di wilayah Heilongjiang di timur laut negara itu, susulan peningkatan jumlah kes Covid-19.

AFP melaporkan ia selepas data terkini menunjukkan gelombang jangkitan terbaharu wabak berkenaan di bandar bersempadan dengan Russia yang mempunyai 10 juta penduduk itu.

STATISTIK kes Covid-19 setakat 24 April. SUMBER BERNAMA
STATISTIK kes Covid-19 setakat 24 April. SUMBER BERNAMA

Terdapat peningkatan kes import membabitkan penduduk yang baru pulang dari luar negara dan pada masa jangkitan tempatan juga dikesan turut meningkat.

Menurut pihak berkuasa, seramai 35 orang yang melawat atau bekerja di dua hospital di Harbin dijangkiti daripada pesakit berusia 87 tahun yang dirawat kerana strok dan disahkan positif Covid-19.

Pihak berkuasa kini mengharamkan bukan penduduk dan kenderaan mereka daripada memasuki kawasan perumahan di bandar itu.

Sesiapa yang tiba dari luar China atau kawasan terjejas teruk akibat Covid-19 di negara berkenaan diarah untuk menjalani kuarantin.

Saringan suhu dan pemakaian penutup mulut dan hidung pula diwajibkan ke atas individu yang ingin memasuki kawasan perumahan.

Pada masa sama, mereka perlu mempunyai kod kesihatan hijau dalam aplikasi telefon bimbit mereka. Dalam pada itu, pelajar universiti dari Heilongjiang juga tidak dibenarkan kembali ke sekolah atau universiti di bahagian lain di negara itu.

Dalam pada itu, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa usaha memerangi wabak ini akan mengambil tempoh masa yang panjang.

"Kebanyakan negara masih lagi di peringkat awal epidemik. Dan ada juga beberapa yang terkesan pada awalnya akibat pandemik, sekarang ini mula memperlihatkan kebangkitan semula kes," katanya.

Sehubungan itu, langkah kerajaan Malaysia memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi bermula 29 April hingga 12 Mei ini perlu dilihat secara positif.

Langkah yang diambil hendaklah diteruskan sehingga kerajaan yakin wabak Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya.

Jika China yang terkenal dengan penguatkuasaan ketat undang- undangnya juga memperlihatkan gelombang jangkitan baharu, tidak mustahil situasi sama akan berlaku di Malaysia.

Justeru, semua pihak perlu berlapang dada dan menganggap bahawa sambutan Aidilfitri tahun ini tidak akan sama seperti tahun sebelumnya.

Apalah sangat pengorbanan ini, berbanding dengan manfaat lebih besar PKP untuk memutuskan rangkaian Covid-19 sekali gus membolehkan virus ini lenyap daripada komuniti kita.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 8:00 AM