'Face Shield'
'Face Shield'
Dr Nur Amalina Mohd Amin

SEDAR atau tidak, sudah dekat enam minggu rakyat Malaysia menempuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula berkuatkuasa pada 18 Mac lalu.

Kini, kita berada di hujung fasa ketiga di mana arahan PKP ini lebih diperketatkan terutama di kawasan yang menunjukkan statistik positif Covid-19 yang tinggi.

Ini sudah tentunya tidak lain tidak bukan bertujuan mengekang penularan wabak daripada lebih parah khususnya di Malaysia, di samping langkah serius yang diambil kerajaan untuk meratakan keluk jangkitan sejak mendepani wabak ini.

Tindakan tegas yang diambil oleh pihak berwajib terhadap mana-mana pihak atau individu yang mengingkari arahan ini menunjukkan kecaknaan dan keseriusan kerajaan dalam menangani isu ini demi kepentingan rakyat.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyatakan tanda awal pemulihan yang positif sejak PKP ini dilaksanakan dengan perubahan pada lengkung epidemik jangkitan yang dilihat semakin mendatar.

Dalam tempoh ini, pelbagai inisiatif diambil oleh pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti bandar dan desa, individu, malah pihak kerajaan untuk memerangi wabak ini.

Masing-masing memainkan peranan menyampaikan sumbangan sama ada dalam bentuk wang ringgit, peralatan perlindungan diri (PPE), bantuan makanan dan kelengkapan harian kepada masyarakat yang memerlukan.

Tidak ketinggalan golongan ilmuan, pendidik, penyelidik dan ahli akademik di universiti awam mahupun swasta turut bersama-sama memainkan peranan yang proaktif untuk melontarkan buah fikiran dan menggembleng tenaga bagi mengatasi segala kekangan dan keresahan yang dihadapi masyarakat ketika ini.

Sementelah itu, peranan universiti kepada masyarakat dilihat amat tepat dan tuntas ketika ini.

Sebagai contoh, kreativiti dan kepakaran penyelidik berserta kerjasama dengan pelbagai agensi dalam pelbagai bidang di seluruh negara berjaya menghasilkan satu inovasi pelindung muka (face-shield) di mana bingkainya diperbuat daripada filamen polimer menggunakan teknologi cetakan 3D.

Kaedah ini dilihat sangat efektif dalam membantu petugas barisan hadapan yang dilihat memberikan respon positif daripada penghasilan produk berkenaan.

Ini kerana bingkai cetakan 3D yang dihasilkan boleh dinyahkuman dan digunapakai semula seterusnya membantu mengurangkan sisa buangan.

Tidak ketinggalan penghasilan cecair pembasmi kuman (hand-sanitizer) yang diformulasi sendiri oleh penyelidik di universiti berjaya diagihkan kepada petugas barisan hadapan dan orang ramai.

Berikutan pertambahan kes yang mendadak dan timbulnya kesedaran untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam kalangan masyarakat, rata-rata kedai yang menjual cecair pembasmi kuman ini sering kehabisan stok.

Situasi ini dilihat mencetuskan kegusaran orang ramai, malah pernah suatu ketika cecair pembasmi kuman yang dibekalkan di hospital turut dicuri pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dengan membantu meringkankan beban komuniti dalam mengekang penularan wabak ini.

Selain itu, usaha murni ini tidak terhenti di situ saja apabila terdapat golongan pensyarah dengan sukarela mengerah tenaga untuk mengukur serta memotong material khas untuk menghasilkan PPE.

Bantuan untuk menjahit PPE turut diperoleh daripada kumpulan tukang jahit perseorangan bagi menampung permintaan yang tinggi.

Ini bukan saja dapat memudahcara dan mempercepatkan proses penghasilan PPE, malah turut membantu masyarakat setempat yang terkesan dengan situasi wabak ketika ini.

Inisiatif ini timbul berikutan video yang tular di laman sosial memaparkan ramai jururawat terpaksa menjahit sendiri PPE untuk kegunaan mereka, sekali gus menyahut seruan KKM yang amat mengalu-alukan pelbagai sumbangan PPE antaranya seperti gaun, apron, penutup kepala dan penutup kasut.

Keupayaan institusi pengajian tinggi sebagai pusat penyelidikan negara turut dibuktikan dengan penglibatan universiti dalam menjalankan ujian pengesanan Covid-19.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengenal pasti makmal di universiti yang mempunyai kemampuan dari segi fasiliti serta peralatan, staf yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam mengendalikan kaedah ujian Tindak Balas Rantai Polimer Transkripsi (RT-PCR).

Kaedah RT-PCR adalah satu platform yang cepat dan tepat kerana mempunyai keupayaan untuk menghasilkan keputusan yang kualitatif dan kuantitatif. Teknik ini dianggap relevan untuk mengkuantifikasi spesies individu termasuk diagnosis patogen dan penyakit genetik.

Kelebihan kaedah ini merangkumi kepekaan yang tinggi, kebolehulangan, kepantasan serta ketepatan analisis, kawalan kualiti yang lebih baik dan risiko kontaminasi yang lebih rendah.

Usaha sama ini sekali gus mampu meningkatkan keupayaan KKM dalam menampung kapasiti ujian pengesanan Covid-19 secara efisien serta menyerlahkan kesediaan Malaysia dalam menangani ancaman wabak ini.

Justeru, dengan pelbagai usaha yang dimainkan oleh kerajaan ketika ini, kita sebagai rakyat Malaysia juga harus bertindak bijak dengan mematuhi arahan pihak berkuasa dalam menangani Covid-19.

Teruslah berada di rumah bersama orang yang tersayang dan marilah sama-sama berdoa semoga Malaysia berjaya memeranginya!

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Sains Dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 6:59 AM