Nadir Al-Nuri

KALAULAH Rasulullah SAW bersama kita pada hari ini, saya yakin air mata Baginda akan menitis.

Saya pasti Baginda akan merenung nasib umat di Palestin, kemudian Syria, Myanmar, Yaman dan air matanya akan bertambah laju mengalir membasahi janggut suci Baginda.

Barangkali Baginda akan melihat anak-anak kecil yang berlari ke sana ke mari tanpa masa depan di ribuan kem pelarian lalu mengusap lembut kepala mereka memberikan harapan dan sentuhan kasih sayang.

Barangkali Baginda akan membelek wajah 'syuhada' yang mati setiap hari demi mempertahankan agamanya lalu memberikan mereka janji syurga.

Barangkali Baginda akan terjelopok duduk, berfikir dan menangis seorang diri kerana kecewa dengan umat ini.

Masakan tidak, pada hari ini ummah tidak punya sebab untuk bergembira.

Ummah terlalu lemah seperti yang disebutkan, bak buih di lautan – ramai, tetapi tidak berguna.

Lihat saja berapa negara umat Islam yang ditindas dan berapa juta yang terbuang menjadi pelarian di negara orang.

Saya teringat pengalaman ke kem pelarian terkenal, Kem Moria di Pulau Lesvos, Greece penghujung 2018. Jumlahnya sekitar 8,000 orang dari puluhan negara bergolak tinggal dalam kem pelarian yang sepatutnya memuatkan 2,500 orang.

Pelarian di sana berjaya sampai ke 'tanah baru yang dijanjikan' melalui operasi penyeludupan antarabangsa. Mereka disumbat ke dalam bot kecil, membayar ribuan euro untuk dibawa menyeberang laut menuju hidup baru yang disangka lebih baik dengan mendepani 1001 risiko dan cabaran.

Ada wanita dalam kalangan mereka yang menjual tubuh sebagai tambang kerana tidak punya bayaran yang diminta. Ada antara mereka yang kehilangan seluruh keluarga kerana lemas ditelan ombak. Ada di antara mereka yang terpaksa meninggalkan isteri di negara asal dan bertahun terpisah dengan anak-anak.

Dan mereka tiba di kem bernama Moria dan kem lainnya lalu terpaksa menurut kerenah birokrasi dan mengharap ihsan negara baru selama berbulan, malah kadang-kadang bertahun sebelum diberi kad pelarian dan dibenarkan meneruskan kehidupan seperti penduduk biasa.

Ia perkara sama yang sedang dilalui pelarian Rohingya dari Myanmar yang mencecah satu juta orang pasca penghijrahan pada 2017. Mereka bukan sengaja mahu meninggalkan kampung halaman, tetapi kampung mereka berubah menjadi abu dibakar penzalim yang tidak sebulu.

Anak-anak mereka dibunuh dan isteri mereka dirogol di depan mata sebagaimana dilaporkan Amnesty International. Angka 6,700 orang dibunuh termasuk 730 orang kanak-kanak dalam tempoh sebulan saja selepas peristiwa penghapusan etnik berlaku sebagai disebut Doctors Without Borders bukan kecil.

Tidak hairanlah apabila Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyatakan bahawa 'orang Rohingya adalah antara kelompok paling didiskriminasi di dunia.'

Negara jiran pula sibuk menghentam Myanmar, tetapi pada masa sama enggan menghulur tangan kepada penduduk Rohingya. Yang bersungguh membantu hanya negara miskin Bangladesh yang membuka Kem Pelarian Cox's Bazar untuk menampung sejuta manusia.

Kita faham ketakutan menerima orang luar yang dipopularkan media sosial sebagai 'pengotor, berbahaya dan mencuri peluang kerja' ke dalam negara. Kita juga faham ketakutan menerima warga asing di kala wabak Covid-19 sedang melanda.

Cuma yang dipinta ialah untuk merasa sedikit kasihan. Yang diminta ialah untuk menonjolkan sedikit kemanusiaan. Kaca mata kita orang awam ialah untuk melihat dengan rasa persaudaraan. Yang menilai dan menentukan sama ada mereka layak masuk atau tidak ke dalam negara, yang bertanggungjawab memastikan mereka tidak membawa bahaya ke dalam negara bukan tugas kita.

Bulan Ramadan ini bukakan hati untuk menzahirkan rasa persaudaraan sesama ummah. Jangan terlalu cepat percayakan fitnah dan melatah. Paling kurang, jangan kerana kita, air mata Rasulullah tumpah.

Satu hari, tidak mustahil kita pula yang akan diuji lalu menjadi pelarian dan mengharap belas ihsan daripada mereka. Putaran roda kehidupan, hanya Allah yang menentukan.

Penulis rakyat Malaysia tunggal di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 6:59 AM