GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Zalmizy Hussin

SEJAK wabak pandemik Covid-19 melanda di serata dunia, negara dikejutkan dengan satu wabak penyebaran maklumat salah dan berita tidak benar. Berita palsu dianggap sebagai maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan. Maklumat palsu disebar dengan tujuan untuk menipu netizen. Berita palsu juga dikatakan suatu berita sindiran atau meniru berita tulen ditulis dengan tujuan utama untuk hiburan dan sarkastik. Melalui kemudahan dan kelajuan Internet, lahir 'wartawan rakyat' begitu rajin dan aktif yang tidak bertauliah. Hanya menekan butang share (kongsi), berita palsu sudah dapat mencetus suasana huru-hara dan panik.

Wartawan rakyat yang menularkan maklumat palsu dan tidak sahih ini memberi kesan ketakutan psikologi atau psychological fear yang parah. Ketakutan melalui pemikiran yang bersifat prejudis dan kebimbangan yang melampau. Contohnya, syak wasangka orang sekeliling pembawa virus dan takut dijangkiti virus berkenaan. Ketakutan psikologi ini boleh diatasi dengan mengawal minda atau pemikiran untuk mengawal ketakutan yang boleh menyumbang kepada panik. Tidak terlalu mempercayai sepenuhnya maklumat daripada media sosial juga satu jalan yang berupaya mengawal ketakutan dan kebimbangan yang melampau.

Barangkali disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang agak lama, maka wartawan rakyat yang mempunyai telefon pintar atau laptop menjadi sahabat setia di rumah. Maka, tercetus di benak fikiran dan mencipta idea dan hobi untuk melakukan satu aktiviti rutin yang dianggap tidak menjejaskan keselamatan negara dan sebagainya. Dalam masa negara bergelut menghadapi wabak ini, ramai netizen juga terbelenggu dengan sikap mudah mempercayai maklumat yang ditular.

Ketidakpastian mengenai sesuatu maklumat menyebabkan kita membiarkan diri dipengaruhi berita tidak sahih. Ini adakalanya amat menakutkan. Di tengah-tengah penularan wabak ditambah dengan permainan psikologi yang dibina atas dasar pemikiran tidak logik, contohnya, berlaku pembelian panik.

Menjadi wartawan rakyat di 'jabatan netizen negara' ini bukan suatu normal baharu dalam komuniti alam maya. Kajian terhadap komuniti alam maya di Malaysia menunjukkan hampir 81.9 peratus mendapat informasi mengenai wabak Covid-19 diperoleh daripada platform media sosial. Ia boleh didapati dalam kumpulan media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan YouTube.

Namun, sejauh mana wartawan rakyat ini menjadi tukang penyebar berita terawal di media sosial? Kajian mendapati sebanyak 87.9 peratus berpendapat berita palsu tersebar oleh wartawan rakyat lebih cepat daripada pandemik Covid-19 di Malaysia. Ini membuktikan wartawan rakyat ini adalah individu yang mempunyai tabiat penyebar berita terawal (breaking news syndrome) yang serius dan membimbangkan.

Kajian mendapati sebanyak 78.5 peratus yang bersetuju berita palsu mudah disebarkan kerana si tukang penyebarnya tidak tahu undang-undang kesalahan. Mungkin juga tabiat sindrom penyebar berita terawal itu yang sukar diubati. Perlu diingat individu yang mengeluarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 505, Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Banyak persoalan timbul apabila wujudnya wartawan rakyat di komuniti alam maya. Di sebalik perkongsian berita palsu yang tidak sahih pada pengikutnya; pada masa sama segala tuduhan, provokasi, ejekan dengan kata-kata kesat, menghasut muncul di ruangan komentar platform media sosial. Maka timbul persoalan: Siapakah yang perlu bertanggungjawab untuk mengenal pasti berita palsu di media sosial?

Hasil kajian menunjukan 74.2 peratus individu yang bernama wartawan rakyat yang perlu bertanggungjawab apa yang yang mereka lakukan. Malah, ada juga yang menyalahkan masyarakat yang terburu-buru mempercayainya tanpa semak dan imbang sesuatu berita.

Realiti sosial di alam maya, pelbagai interaksi netizen apabila berhadapan dengan berita palsu ini. Kajian membuktikan hampir 91.3 peratus netizen pernah menerima berita palsu dari platform media sosial. Ada juga yang pernah memadam atau membuat laporan polis apabila menerima berita palsu. Ada yang pernah komen, suka atau tidak suka. Malah, ada yang pernah kongsi sesuatu berita tanpa selidik kesahihannya. Walau apa pun bentuk interaksinya, ketahuilah warga netizen perlu selidiki terdahulu kesahihan sesuatu berita. Agar wartawan rakyat ini terputus rantaian berita palsu penularannya.

Media sosial bukan suatu platform untuk menjadi hero viral. Bukan juga tempat untuk menyebar maklumat palsu atau tidak sahih. Media sosial adalah satu platform baharu untuk terus berhubung di alam maya. Media sosial bukan juga penjara sosial alam maya. Ia cuba mendekatkan diri kita kebersamaan tanpa batasan ruang dek kerana kemajuan dan kelajuan rangkaian Internet. Namun, keterbukaan di ruangan media sosial bukan satu wadah untuk kita bebas ekspresi pemberontakan jiwa. Kita bertanggungjawab ke atas apa yang kita mahu tularkan, dipuji kerana menjadi insan terawal disiarkan dan menjadi bahan perkongsian oleh warga alam maya.

Pastinya apa yang kita selidiki berita akan kesahihannya tidak merugikan kita. Tidak juga merugikan kita andai kita bersikap sabar, tenang dan tidak perlu panik apabila mendepani sebarang berita palsu. Satu kaedah dicadangkan bagi mengekang penularan berita palsu.

Kaedah S.U.R.E iaitu Source (Sumber), Understand (Kefahaman), Research (Kaji-selidik) dan Evaluation (Penilaian). Ketahui sumbernya, fahami isi kandungannya, kaji kesahihannya dan nilaikan kebaikan dan keburukan berita itu. Hanya kewarasan akal fikiran yang positif menjadi hakim kepada kekangan penularan berita palsu yang berada di radar alam maya. Jika kita sangsi, maka tidak usahlah kita kongsi.

Penulis Pakar Kriminologi di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM)

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 7:59 AM