KERAJAAN akan mempercepatkan proses pendigitalan masyarakat sebagai langkah adaptasi kepada normal baharu.
KERAJAAN akan mempercepatkan proses pendigitalan masyarakat sebagai langkah adaptasi kepada normal baharu.
HM Digital

KENYATAAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa kerajaan akan mempercepatkan proses pendigitalan masyarakat sebagai langkah adaptasi kepada normal baharu pada masa depan, pasca penularan wabak Covid-19 adalah tepat pada masanya. Bagi penulis, antara hikmah di sebalik musibah wabak ini ia dilihat membantu mempercepatkan proses pendigitalan masyarakat.

Proses pendigitalan dalam tiga komponen penting iaitu, kerajaan (e-kerajaan), pendidikan (e-pendidikan) dan perniagaan (e-dagang) dilihat sedang berkembang dengan begitu pesat di negara kita terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ancaman wabak Covid-19 ini.

Dalam sektor kerajaan misalnya, PKP membolehkan anggota perkhidmatan awam membudayakan konsep bekerja dari rumah.

Ironinya, konsep ini masih baharu untuk kita, namun kita lihat penjawat awam segera mengadaptasi dan menyesuaikan diri sehingga semua urusan penting kerajaan dan perkhidmatan kepada rakyat terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan walaupun pejabat terpaksa ditutup.

Malah, pelbagai kemudahan dalam talian yang disediakan oleh semua agensi kerajaan seperti permohonan atau penggunaan borang dalam talian bukan saja memudahkan kerja penjawat awam, malah ia turut melegakan pengguna.

Hal ini kerana rakyat boleh membuat sesuatu permohonan atau mendapatkan perkhidmatan dari rumah sendiri pada bila-bila masa. Ini sekali gus membolehkan perkhidmatan kerajaan menjadi lebih efektif, pantas dan efisien.

Malah ketika semua agensi kerajaan terpaksa ditutup, pelbagai sesi mesyuarat dan perbincangan jabatan kerajaan juga dapat dilaksanakan secara maya menggunakan platform seperti Zoom dan Webex.

Justeru, adalah sangat wajar jika semua agensi kerajaan dapat mewujudkan urusan dalam talian secara total sebagai usaha untuk mendigitalkan pentadbiran kerajaan. Tambahan pula, e-kerajaan dilihat bukan lagi satu pilihan, sebaliknya sudah menjadi tuntutan utama dalam kalangan anggota masyarakat.

Begitu juga halnya dalam bidang pendidikan, misalnya walaupun universiti dan sekolah terpaksa ditutup ketika PKP ini, namun proses pembelajaran tetap dapat diteruskan melalui pembelajaran secara maya.

Platform dalam talian seperti Google Classroom dilihat membantu anak-anak meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa. Hari ini kita dapat lihat guru terus membimbing dan mengajar anak-anak secara dalam talian.

Malah, urusan guru memberikan kerja rumah dan anak menghantar semula kerja rumah itu juga dapat dilaksanakan dengan lancar secara maya tanpa sebarang masalah.

Mahasiswa universiti juga kelihatan sudah terbiasa dengan sesi pembelajaran dalam talian di mana nota dan tugasan dapat dirujuk dan dihantar tanpa sebarang masalah. Ringkasnya, kuliah secara maya bukan lagi suatu perkara yang baharu di universiti di mana mahasiswa dapat berinteraksi secara langsung dengan pensyarah tanpa sebarang masalah.

Cuma dalam kita mahu memartabatkan konsep e-pendidikan ini, perhatian yang serius perlu diberikan kepada masalah capaian Internet di sesetengah kawasan yang sama ada langsung tidak ada capaian atau capaiannya terlalu perlahan sehingga menjejaskan proses pembelajaran secara maya dalam kalangan anak-anak di kawasan tersebut.

Justeru, dengan pengumuman kerajaan yang akan menyegerakan proses pendigitalan ini, diharap tahap capaian Internet ini dapat dipertingkatkan ke standard yang sewajarnya supaya anak-anak daripada semua lapisan anggota masyarakat dapat meneruskan sesi pembelajaran tanpa sebarang kekangan atau halangan.

Perniagaan dalam talian juga bukan lagi perkara baru di negara kita. Kepesatan dunia Internet dan teknologi maklumat turut memberi kesan langsung yang positif kepada proses pendigitalan aktiviti perniagaan di negara kita.

Dalam tempoh pelaksanaan PKP ini misalnya, tatkala semua premis ditutup, perniagaan dalam talian berjaya melonjak naik pada kedudukan yang cukup penting dan signifikan.

Konsep e-dagang ini banyak membantu memudahkan urusan masyarakat yang terperuk di rumah. Daripada pembelian makanan hinggalah ke pelbagai barangan keperluan harian, anggota masyarakat kelihatan cukup selesa menggunakan urusan dalam talian.

Malah platform jual beli juadah berbuka puasa dalam talian yang pertama kali dilaksanakan pada tahun ini juga banyak membantu umat Islam untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa sama seperti membeli di bazar Ramadan.

Siapa sangka pada satu hari kita akan membeli juadah berbuka puasa dan barangan dapur seperti ayam, ikan, daging dan sayur secara dalam talian. Hakikatnya, perkara yang disangka sangat luar biasa dan mustahil seperti ini dapat direalisasikan sekarang hasil daripada proses pendigitalan yang pesat dalam kalangan anggota masyarakat.

Ringkasnya, ekonomi digital bukan lagi satu pilihan, sebaliknya sudah menjadi tuntutan dan keperluan yang wajib dalam dunia perniagaan pada masa hadapan.

Jelasnya proses pendigitalan dalam kalangan anggota masyarakat secara keseluruhannya sudah lama bermula dan PKP serta Covid-19 pula membantu mempercepatkannya.

Cuma apa yang diperlukan sekarang ia perlu diperkasa dan dimantapkan lagi terutama dari segi infrastruktur dan kemudahan agar kita tidak ketinggalan berbanding masyarakat dunia yang lain.

Untuk itu, pihak kerajaan baik sektor awam mahupun swasta perlu berganding bahu melaksanakan inisiatif dan langkah yang sewajarnya dengan segera. Pendigitalan masyarakat dalam semua bidang perlu dilaksanakan secara total.

Untuk itu, semua pihak perlu beri perhatian serius kepada aspek menyediakan infrastruktur yang lengkap, selain galakan melalui sistem pendidikan untuk generasi muda di sekolah dan perniagaan bagi masyarakat.

Hal ini penting kerana kita sedar kehidupan pasca penularan wabak Covid-19 akan berubah sama sekali. Kita perlu berhadapan dengan kehidupan normal baharu yang jauh lebih mencabar dan pendigitalan adalah kunci utama gaya hidup masa hadapan.

Penulis Timbalan Pengarah Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 9:00 AM